Perkuburan tak boleh diagung atau dihormati seperti masjid
Oleh Ibrahim Abdullah
SUBHANALLAH ini adalah satu keajaiban yang terjadi sekitar 90 tahun yang lalu.
Diriwayatkan oleh Syeikh Zubaidi, ahli sejarah Madinah seperti berikut:
“Ada seseorang mencuba untuk menghancurkan kubah Nabi Muhammad SAW, kubah warna hijau di Masjid Nabawi di Madinah yang juga menjadi tanda tepat di bawahnya terdapat makam Rasulullah SAW. Ketika pelaku mencuba memanjat kubah itu untuk menghancurkannya, tiba-tiba petir kilat datang menghentamnya. Pendaki yang berniat jahat itu pun mati di tempat itu. Anehnya tidak seseorang pun yang mampu menghilangkan tubuhnya dari atas kubah itu. Ia juga menyatakan bahawa seseorang yang salih dari Madinah mendengar suara dalam mimpinya bahawa tidak ada yang dapat mengambil mayat dari atas kubah itu dan ia harus dikuburkan di atasnya sebagai peringatan dan pengajaran bagi orang yang mungkin memikirkan berusaha untuk menghancurkannya kubah itu pada masa depan. Akhirnya, mereka memutuskan untuk menguburkan orang itu di atas kubah dan menutup tubuhnya dengan kotak hijau sehingga tidak akan terlihat orang.”
Maklumat mengenai ada mayat di atas kubah Masjid Nabawi, memang banyak dijelaskan melalui laman web (internet) yang boleh dilayari dengan judul ‘Ada mayat di atas kubah Masjid Nabawi’ dan adakah benar atau sebaliknya fakta ini?
Sesuatu maklumat atau khabar di dalam ilmu mantiq dan balaghah, mungkin boleh dipercayai ataupun tidak. Apa lagi maklumat itu tidak ada kaitan dengan ibadah atau akidah.
Kejadian itu bukan sekadar maklumat yang membuat kita terkejut mendengar dan melihatnya, bahkan ia fakta sejarah yang tidak dapat ditutupi selama ini kerana ditutupi oleh fahaman dan aliran atau golongan tertentu yang melakukan perbuatan provokasi itu.
Ramai jemaah haji, umrah, dan ziarah dari pelbagai negara seluruh dunia mengunjungi Masjid Nabawi dan melihat di atas kubah hijau itu, tetapi tidak perasan bahawa di sana ada sebungkah mayat terbujur.
Ada jemaah bertanya, mengapakah harus ada dua kubah berdekatan di atas mihrab raudah dan bekas rumah Nabi Muhammad SAW dan di bawah kubah hijau Masjid Nabawi terdapat pula makam Rasulullah SAW dan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab RA.
Setelah memandang lebih fokus ke arah puncak kubah hijau itu, kita melihat seperti ada suatu bongkahan sehingga kelihatan kubah itu seperti ada sesuatu yang tidak rata di atasnya. Jika diperhatikan secara saksama, memang jelas ada sesuatu yang menempel di atas kubah itu dan menyatu warnanya (hijau) dengan warna kubah.
Tanpa ada niat untuk menimbulkan sensasi, setelah mempelajari komen yang tertulis dalam bahasa Arab di samping gambar itu seperti yang disaksikan pada mulanya makam itu adalah bilik Aisyah, isteri Nabi SAW dan rumah kediaman Rasulullah SAW. Justeru, kerana kesalahan kerajaan Islam terdahulu, makam itu dibina sebahagian daripada masjid.
Dalam hadis pun ada melarang menjadikan makam nabi sebagai masjid. Diriwayatkan daripada Abbad RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah SWT melaknat orang Yahudi dan Nasrani menjadikan kuburan nabi mereka sebagai masjid.” (lihat Fathul Barri).
Dalam konteks ini, Ibnu Hajar al-Asqalani, menjelaskan makna hadis di atas adalah larangan untuk mengagungkan dan membesarkan (memuja) kuburan, bukan larangan membina masjid dekat kuburan atau kuburan berada di dalam masjid.
Di mana pun lokasinya, kuburan (makam) tetap tidak dibolehkan untuk diagungkan seperti orang menghormati masjid. Sama halnya makam Nabi SAW yang berada di dalam masjid. Orang datang ke makam Baginda bukan bermaksud untuk mengagung dan memujanya tetapi sekadar untuk berziarah dan berdoa seperti Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahiku setelahku wafat, sama seperti menziarahiku ketika aku hidup.” (Hadis riwayat Tabarani).
Justeru, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan mengirimkan sambaran kilat maut kepada pelakunya yang berniat jahat dan khianat untuk menghancurkan kubah Masjid Nabawi itu. Sehingga tidak ada seseorang pun yang sanggup menurunkan mayat itu hingga sekarang walaupun peristiwa itu berlaku 90 tahun yang lalu.
Namun Allah SWT ingin memperlihatkan kekuasaan-Nya, bahawa yang benar itu tetap benar, dan yang salah tetap salah walaupun dipertikaikan kerana yang benar itu mengatasi yang batil. Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang mendustakan ayat (tanda) keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli di dalam gelap gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki, akan disesatkannya, dan sesiapa yang Dia kehendaki, akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.” (Surah al-An’am,ayat 39).
No comments:
Post a Comment