Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Sunday, March 13, 2011

Gempa bumi antara bencana alam atau peringatan Allah

BERLARI tanpa arah, menangis dan menjerit. Itulah gambaran jika berlaku bencana yang melanda bumi seperti gempa, tsunami, banjir besar dan taufan.
Suasana turut diselubungi perasaan pilu kerana masing-masing tinggal sehelai sepinggang selain meratapi ahli keluarga serta sanak-saudara yang terkorban.
Akibatnya, ribuan nyawa terkorban dan banyak bangunan ranap menyembah bumi.
Keadaan seperti padang jarak padang tekukur. Mayat bergelimpangan tanpa sesiapa mempedulikannya kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri sendiri.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan (demikianlah) perbuatan Allah yang membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya, sesungguhnya Ia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Naml ayat 88).
Begitulah betapa hebat kejadian ciptaan Allah yang mampu merubah apa saja bentuk musibah sebagai peringatan kepada manusia. Mungkin juga ada benarnya sesetengah pihak beranggapan bumi ini sudah tua dan semakin hampir ke penghujungnya.
Berdasarkan pengalaman lalu, beberapa siri bencana seperti tsunami, mereka yang terselamat mengatakan kejadian yang dialami seolah-olah dunia mahu kiamat.
Allah Taala berfirman bermaksud: “Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dan daripada kehidupan dunia, sedang mereka lalai mengenai (kehidupan) akhirat.” (Ar-Rum: 7).
Apa yang berlaku adalah sebahagian kecil peringatan yang Allah tunjukkan kepada manusia supaya mereka mengambil iktibar dan tidak menyimpang daripada Islam.
Umat dan nabi sebelum Rasulullah s.a.w Allah timpakan azab pada masa itu juga. Ini yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan homoseksual dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Kaum Nabi Nuh, Allah tenggelamkan bumi ini kerana mereka ingkar perintah Allah. Begitu juga pada zaman Nabi Musa, Allah menenggelamkan Firaun dan pengikutnya di laut kerana kedegilan menerima ajaran Islam.
Kita pasti tidak lupa dengan kejadian tsunami yang melanda Acheh pada Disember 2004 yang mengorbankan lebih 126,000 nyawa.
Gegaran itu melepasi 9 skala ritcher disenaraikan sebagai gempa bumi paling dahsyat pernah berlaku di Indonesia dalam tempoh 40 tahun.
Maha Suci Allah! Begitulah perancangan Allah yang di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran yang sering dilupakan manusia.
Allah berfirman bermaksud: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Mulk ayat 1).
Apabila mengaitkan dengan kejadian bencana alam akhir-akhir ini, apakah ia sekadar fenomena biasa seperti yang saintis perkatakan atau Allah mahu manusia mengambil iktibar daripadanya?
Allah berfirman yang bermaksud: “Timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah mahu rasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Ar-Rum: 41).
Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika timbul maksiat pada umatku, Allah akan menyebarkan azab seksa kepada mereka. Ummu Salamah lantas bertanya : Wahai Rasulullah, apakah pada waktu itu tidak ada orang yang soleh? Baginda menjawab : Ada! Ummu Salamah bertanya lagi : Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka? Baginda menjawab : Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang yang berbuat maksiat, kemudian mereka akan mendapatkan keampunan dan keredaan daripada Rabbnya” (riwayat Imam Ahmad).
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata Al-Quran tegas menjelaskan sebab utama terjadinya peristiwa buruk di atas muka bumi adalah disebabkan perbuatan manusia itu sendiri.
“Pelanggaran sistem Allah yang ada di laut dan darat menjadi penyebab terjadinya musibah.
“Ada mengatakan musibah sekadar peristiwa bersifat alami (natural), tidak kaitan dengan persoalan agama, yang lainnya mengatakan musibah adalah ketentuan dan takdir Allah tiada kaitan dengan dosa. Sebahagian lagi mengatakan musibah terjadi disebabkan dosa manusia,” katanya.
Beliau berkata pendapat yang terakhir itu tidak dapat dinafikan kerana memang ada peringatan Rasulullah s.a.w.
“Terdapat lima penyebab datangnya azab dan seksa Allah (hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah) serta 15 perkara yang mendatangkan musibah dan bala bencana (Riwayat Tirmizi).
“Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila berlaku 15 perkara itu, tunggulah datangnya malapetaka berupa taufan merah (kebakaran), tenggelamnya bumi dan apa yang di atasnya ke dalam bumi (gempa bumi dan tanah runtuh) dan perubahan atau penjelmaan daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain” (Riwayat Tirmizi, 2136).
Badli Shah berkata, perbuatan manusia juga menyebabkan ekosistem alam sekitar rosak, maka Allah memberikan teguran serta peringatan kepada manusia.
“Allah menurunkan musibah dan bencana bagi menunjukkan Dia masih sayang kepada hamba-Nya dan mahu manusia kembali semula ke pangkal jalan.
“Tidak kira sama ada gempa bumi, banjir, kemarau, tsunami dan penyakit, semua pelanggaran syariat Allah di alam semesta ini akan mengakibatkan kemurkaan Allah. Semakin besar pelanggaran manusia ke atas sistem dan syariat Allah, semakin besar peristiwa alam yang Allah timpakan ke atas mereka,” katanya.
Allah berfirman bermaksud: “Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang menggegar dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri” (Al-Ankabut : 40).
Katanya, jalan terbaik bagi mengelak kemurkaan Allah ialah segera bertaubat dan memohon keampunan.
Sayyidina Ali bin Abu Talib pernah berwasiat : “Tidaklah turun musibah kecuali dengan sebab dosa dan tidaklah musibah diangkat Allah kecuali dengan bertaubat.”

No comments:

Post a Comment