السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah S.W.T dalam ayat 54 surah al-Maidah :
يأيهاالذين آمنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكفرين يجهدون فى سبيل الله ولايخافون لومة لائم ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله وسع عليم
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa di kalangan kamu yang murtad daripada agamanya maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintaiNya. Bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin, bersikap tegas terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang mencela. Itulah kurniaan Allah yang dianugerahkan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui.
Kita kini berada pada bulan Sofar yangmengingatkan kita kepada suatu peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam di mana pada akhir bulan Sofar tahun 11 hijrah Rasulullah s.a.w telah jatuh sakit yang membawa kepada kewafatan baginda pada 12 Rabiul Awwal. Kewafatan baginda walau pun banyak memberi kesan kepada umat Islam termasuk ada yang kembali murtad namun kasih sayang dan cinta kepada Rasulullah s.a.w tetap subur dalam sanubari umat Islam yang teguh imannya serta perjuangan Islam diteruskan oleh para sahabat, pendakwah serta pejuang Islam sehingga hari qiamat. Kita wajib bersyukur kerana dikurniakan dengan nikmat iman dan Islam hasil daripada perjuangan dan usaha yang bersungguh daripada umat sebelum kita. Selain daripada mempertahankan Diri Rasulullah s.a.w daripada dimkadi dan dicaci oleh musuh Islam maka kita wajib meneruskan usaha dan kerja suci Rasulullah s.a.w dan para pejuang Islam sebelum ini dalam mempertahan serta mengembangkan Islam sehingga ia menjadi suatu cara hidup dalam mengejar kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita mesti yakin bahawa kita bukan orang pertama yang menjalankan tugas dalam memartabatkan Islam di atas muka bumi ini dan kita juga bukan orang terakhir yang menjalankan misi suci ini sebaliknya kita merupakan antara rantaian orang-orang yang memperjuangkan Islam yang telah dilaksanakan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini dan bakal diteruskan oleh generasi selepas kita sehinggalah berlakunya hari qiamat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kita sebagai umat yang mengaku berjuang dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini mesti memiliki sifat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah antaranya ialah kita mestilah mencintai Allah lebih daripada segalanya sehinga Allah juga mencintai kita. Bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin, bersikap tegas terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang mencela. Apabila sudah memiliki sifat-sifat tersebut maka barulah usaha kita dalam mendaulatkan kembali system Islam dapat dicapai. Kita yang kini terpaksa berdepan dengan pelbagai tekanan dan cara dalam melemahkan umat Islam sehingga dalam banyak keadaan kita dihina di negara sendiri akibat daripada hilangnya jatidiri daripada diri umat Islam. Negara umat Islam sendiri mengharapkan kepada system ciptaan manusia dalam menangani masalah mereka sehingga masalah yang sedia ada semakin bertambah bukannya semakin berkurangan. Pada hari ini kita lebih banyak menghitung masalah yang ada sedangkan usaha yang dibuat dalam menangani masalah tersebut bagaikan menemui jalan yang buntu akibat tidak mahu kembali kepada system Islam. Sistem perundangan semakin parah, system sosial semakin musnah terutama setelah aqidah umat Islam semakin punah, system ekonomi bagaikan barah yang menunggu masa untuk pecah. Kita merasa gerun dan terhina apabila lahirnya ramai pelacur, penagih dadah, anak luar nikah dari kalangan umat Islam sendiri ditambah dengan masalah suku juta umat Islam yang murtad disamping tindakan tidak bertamadun seperti membuang pekerja yang bertudung, memecat pelajar yang memakai serban ke sekolah, larangan pekerja untuk solat Jumaat akibat hari Jumaat dijadikan hari bekerja dan sebagainya. Kita jangan hanya menyebut tentang perkara ini tetapi mestilah bersungguh-sungguh dalam usaha menanganinya berdasarkan apa yang telah digariskan oleh Syarak. Ingatlah kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :
قال الرسول e : إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ – رواه مسلم
Maksudnya : Jika ada seorang berkata : “ Orang ramai sekarang ini sudah rosak”. , maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka
Imam Nawawi ketika menyebut tentang hadis ini lalu beliau menyatakan bahawa larangan mengatakan orang lain sudah rosak dengan tujuan rasa bangga diri sendiri sebab tidak rosak serta merasa diri lebih mulia daripada orang lain maka ini semua adalah haram. Sebaliknya jika berkata demikian kerana merasakan perhatian orang ramai terhadap Islam semakin kurang serta rasa sedih melihat kerosakan yang menimpa umat sehingga timbul rasa cemburu terhadap agama maka perkataan itu tidak menjadi suatu kesalahan.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :
وضرب الله مثلا قرية كانت ءامنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون
Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.
Kita begitu bimbang akibat tidak bersungguh dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan menyebabkan Allah menurunkan bala seperti kelaparan dan ketakutan. Lapar bukan sahaja disebabkan tiada makanan tetapi akibat kenaikan harga barang bermula melambungnya harga minyak turut mengurangkan kuasa membeli sehingga rakyat miskin bertambah melarat. Apabila manusia mula hidup terlalu susah menyebabkan lebih banyak masa dihabiskan untuk mencari harta sehingga kurangnya waktu ibadat khusus. Begitu juga ibubapa mula mengabaikan jagaan terhadap anak-anak sehingga musnahnya system rumahtangga yang membawa kepada kerosakan akhlak yang bukan sahaja memusnahkan keamanan rumahtangga malah melarat kepada masyarakat dan negara. Sistem ekonomi tajaan kuffar hanya meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama walau pun terpaksa mengorbankan kepentingan orang lain. Pemimpin yang menjadikan tampuk pemerintahan sebagai jalan pintas untuk mengaut kekayaan tidak merasai dan tidak berusaha untuk turut merasai kesusahan rakyat. Kita ingat kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz bahawa jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi jika pemimpin miskin maka rakyat akan kaya.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Islam melarang harta kekayaan negara hanya berpusing untuk dibolot oleh golongan kaya sahaja. Ekonomi Islam tidak meletakkan keuntungan semata-mata sebagai matlamat sebaliknya turut menjaga kebajikan dan hak orang lain. Suatu peristiwa untuk renungan bersama di mana ketika Damsyik, Syria diancam serangan tentera Tartar maka pemerintah memutuskan untuk mengenakan cukai tambahan ke atas rakyat bagi membiayai peperangan. Di tengah keresahan rakyat yang tidak mampu membayar cukai itu maka tampillah Izzuddin Abdul Salam yang terkenal dengan gelaran Sultan al-Ulama’ menentang perkara itu dan meminta agar dijual terlebih dahulu kesemua barangan mewah milik pemerintah dan milik peribadi pegawai pemerintah sehingga tidak ada lagi perbezaan antara pemerintah dan rakyat. Sesudah itu barulah boleh dikutip cukai jika kewangan masih tidak mencukupi untuk membiayai peperangan itu. Inilah ia keindahan dan keadilan Islam yang menekankan susah dan senangnya sesebuah negara merupakan tanggungjawab bersama antara pemimpin dan rakyat bukannya ketika negara senang hanya sesetengah golongan yang menikmatinya tetapi apabila ditimpa kesusahan maka hanya rakyat yang menanggungnya.
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :
مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء كمثل العنكبوت اتخذت بيتا وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment