Allah mencipta sesuatu itu ada tujuan dan hikmahnya. Mustahil bagi Allah menjadikan suatu perkara itu tanpa arah tujuan dan matlamatnya.
Penciptaan Allah adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia. Untuk memahami hakikat ini, Allah SWT memerintahkan manusia agar bertadabbur dan bertafakur melihat hikmah di sebalik segala yang diciptakan.
Allah SWT mencipta manusia dengan tujuan menjadikan mereka sebagai khalifah di atas muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya. (Hud: 61)
Bagi membantu manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah, Allah SWT menurunkan syariatnya yang wajib dipatuhi.
Memang diakui di kalangan ulama bahawa terdapat tujuan di sebalik setiap pensyariatan. Dan seperti yang dinyatakan di atas ada yang dapat difahami secara jelas dan ada yang menjadi rahsia Allah. Tujuan atau matlamat ini disebut sebagai maqasid.
Maqasid syariah adalah tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya.
Sesungguhnya Allah SWT apabila mensyariatkan hukum, sebenarnya adalah bertujuan memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.
Hukum taklifi
Apabila seseorang individu mencapai tahap mukalaf maka setiap amalan, perlakuan dan aktiviti yang dilakukannya akan terkena kepada salah satu dari lima hukum taklifi.
Mukalaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif syarak (tuntutan dan kewajipan syarak).
Orang yang mukalaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perlakuannya tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama.
Syarat-syarat mukalaf ialah telah sampai umur (yakni baligh), memiliki akal yang waras, sampai dakwah kepadanya, sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.
Setiap perbuatan dan perlakuan mukalaf tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama yang disebut sebagai hukum taklifi seperti berikut:
1. Wajib iaitu tuntutan syarak ke atas setiap mukalaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan secara pasti (jazam).
Jika tidak dilaksanakan, maka individu tersebut akan berdosa dan sebaliknya. Jika dia melaksanakannya, akan mendapat pahala seperti menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam.
2. Haram adalah tuntutan syarak ke atas mukalaf supaya meninggalkan sesuatu perkara dengan tuntutan secara pasti (jazam).
Jika ia dilakukan, maka individu tersebut mendapat dosa, dan sekiranya meninggalkannya akan mendapat pahala seperti meminum arak.
3. Makruh ialah apa-apa yang dituntut untuk meninggalkannya tidak secara ilzam atau sesuatu perkara yang mana lebih afdal (utama) ditinggalkan dari dilakukan.
Pembuatnya tidak berdosa, tetapi hanya dicela. Sesiapa yang meninggalkannya (tidak membuat perkara tersebut) akan mendapat pahala dan pujian daripada Allah SWT.
4. Sunat adalah apa-apa yang dituntut untuk melakukannya iaitu dengan memberikan ganjaran kepada individu yang melakukannya, dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya.
Ia memuji orang yang melakukannya dengan mengurniakan pahala, pada waktu yang sama tidak mencela dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya seperti bersedekah.
5. Harus adalah sesuatu perkara yang diberikan pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Ia tidak akan mendatangkan sebarang pahala atau dosa.
Hukum-hukum syariah ini adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas mereka.
Kita perlu reda dan akur dengan segala syariat Allah dengan meyakini bahawa segala ketetapan Allah yang berupa peraturan dan undang-undang ini adalah demi menjamin kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.
Asas maqasid syariah
Objektif di sebalik penurunan atau penetapan syariah dapat dilihat sendiri menerusi dua sumber utama kepada umat Islam iaitu al-Quran dan hadis.
Ia bertitik-tolak dari firman Allah SWT yang menjelaskan motif kebangkitan junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui firman-Nya: Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107).
Tidak dapat disangkal lagi bahawa perkataan ‘rahmat’ itu bermaksud kebaikan, kemaslahatan dan keharmonian.
Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah.
Maqasid syariah juga dapat dijejaki menerusi ayat-ayat al-Quran. Kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan.
Biasanya, ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya.
Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah SWT jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)
Demikian juga dalam persoalan puasa, Allah SWT menjelaskan objektif pensyariatannya kepada umat Nabi Muhammad dan umat nabi-nabi yang terdahulu adalah untuk membentuk jiwa yang bertaqwa kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu (sentiasa) bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Begitu juga dari sudut undang-undang, Islam menjelaskan objektif di sebalik pensyariatan qisas terhadap mereka yang melakukan pembunuhan secara sengaja. Firman Allah SWT: Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu. (al-Baqarah: 179)
Dari sudut ekonomi pula, Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan derma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada mereka.
Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk membina hidup mereka. Bahkan, Allah SWT mewajibkan umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf.
Objektif pensyariatannya dinyatakan dalam firman Allah SWT: ….. Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu. (al-Hasyr: 7)
Pembahagian maqasid syariah
Maqasid syariah secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, dharuriyyat.
Ia adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh setiap individu. Ia adalah kemaslahatan yang perlu dipenuhi untuk mendirikan kemaslahatan agama dan dunia.
Jika tiada maslahah ini, kemaslahatan dunia tidak akan bergerak dengan lancar dan akan hilang nikmat dan keselamatan di akhirat kelak.
Contohnya, seorang individu perlu mempunyai harta untuk meneruskan kehidupan. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat yang berkaitan dengan persoalan memiliki harta, menggunakan dan membelanjakannya.
Terdapat lima perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu memelihara agama, memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.
Contohnya, dalam bab memelihara agama, Allah SWT dan Nabi SAW memerintahkan umat Islam mempelajari Islam dan mengukuhkan akidah dan syariat seperti solat, puasa dan haji.
Kemudian, Allah SWT menurunkan syariat untuk menjaganya seperti suruhan berdakwah dan berjihad.
Keduanya, hajiyyat iaitu kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia.
Ia untuk menghilangkan kesulitan dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup. Jika kemaslahatan ini tidak dapat dipenuhi ia boleh menyebabkan kesulitan dan kesusahan hidup.
Contohnya, Rasulullah SAW melarang dari menjual sesuatu yang tidak jelas (gharar) seperti ikan di lautan dan burung di udara.
Ini bertujuan menjamin kepentingan pembeli bagi mendapatkan haknya setelah membayar kepada penjual.
Bahagian yang ketiga adalah tahsiniyyat iaitu kemaslahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak. Jika hilang kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal.
Sebagai contoh, seorang individu yang telah mempunyai kereta dibenarkan untuk memiliki sebuah lagi kereta sekiranya mempunyai keperluan dan kemampuan.
Pembahagian ini sengaja dijelaskan dan dipaparkan oleh para ulama untuk membantu umat Islam dalam menentukan prioriti dan keutamaan dalam melakukan ketaatan dalam hidup mereka.
No comments:
Post a Comment