الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali Imran :
وكأين من نبي قـتل معه ربيون كثير فما وهنوا لما أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصـبرين
Maksudnya : Dan berapa ramaikah para nabi yang berperang sedangkan bersama mereka sejumlah besar daripada pengikut yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai mereka yang sabar.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Khalifah atau pemimpin merupakan suatu jawatan yang penting dalam menjaga amanah dalam menguruskan urusan dunia dan menjaga kesucian agama. Oleh itu sejarah Islam pernah menyaksikan bagaimana pada hari kewafatan Rasulullah s.a.w iaitu pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah maka pada hari tersebut jugalah umat Islam begitu sibuk dalam menyelesaikan masalah perlantikan khalifah. Kewafatan nabi disebabkan sakit tenat kesan daripada memakan kambing yang dibubuh racun oleh seorang perempuan yahudi di Khaibar di mana disebabkan masalah perlantikan khalifah menyebabkan jenazah nabi yang mulia terpaksa dikebumikan pada keesokan harinya iaitu Selasa malam Rabu di bilik Siti Aisyah bertepatan dengan sabda nabi yang menyuruh agar disemadikan jasadnya di tempat baginda wafat disamping mimpi Siti Aisyah di mana dia melihat 3 biji bulan jatuh ke biliknya dan Sayyidina Abu Bakar menyatakan bahawa mimpi itu menunjukkan bagaimana tiga orang manusia yang mulia akan dikebumikan di bilik Siti Aisyah antaranya yang paling mulia ialah Rasulullah s.a.w diikuti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Pertemuan dalam melantik khalifah selepas kewafatan nabi telah diadakan di Saqifah Bani Saadah iaitu dewan mesyuarat yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi. Pada mulanya perhimpunan ini tidak diketahui oleh kaum keluarga nabi dan tokoh Quraisy sehinggalah ada 2 orang sahabat datang memberitahu bahawa adanya suatu perhimpunan penting di situ. Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar bergegas ke sana dan mendapati keputusan perlantikan belum dibuat disebabkan timbulnya pertikaian di kalangan kaum Aus seramai 70 orang yang tidak bersetuju dengan perlantikan Saad bin Ubadah daripada kaum Khazraj sebagai khalifah. Mereka mengakui bahawa Saad bin Ubadah merupakan seorang yang layak bagi memikul amanah yang berat ini memandangkan beliau merupakan seorang yang banyak berbakti kepada Rasulullah s.a.w, bijak dalam pengurusan, seorang yang terkenal serta pernah ditugaskan menjaga kota Madinah sewaktu rombongan ke Abwa’. Malah beliau diriwayatkan orang yang layak dan terpilih dalam memimpin Madinah jika Rasulullah s.a.w tidak berhijrah ke Madinah sebelum ini.
Pelbagai pandangan dilontarkan bersama dengan hujah masing-masing di mana antara cadangan ialah agar perlantikan khalifah di pilih daripada kalangan Ansar memandangkan merekalah anak tempatan yang memberi perlindungan dan bantuan kepada Rasulullah s.a.w dan para muhajirin yang datang dari Mekah. Manakala Sayyidina Abu Bakar pula mencadangkan agar jawatan khalifah ini diberikan kepada orang Quraisy berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Khalifah hendaklah dipilih daripada kaum Quraisy yakni muhajirin. Di samping itu alasan Sayyidina Abu Bakar lagi bahawa kaum Muhajirin merupakan golongan pertama memeluk Islam tanpa menafikan bakti dan segala jasa yang telah dihulurkan oleh golongan Ansar dari kaum Aus dan Khazraj. Beliau menambah lagi bahawa jika jawatan itu diserahkan kepada golongan Ansar maka ia akan memberi kesan yang negatif kepada masyarakat Islam kerana golongan Ansar terdiri daripada dua suku kaum yang terbesar dan terpengaruh di mana sudah pastinya akan timbul peristiwa perpecahan antara keduanya sebagaimana sebelum kedatangan Islam disebabkan tidak puas hati dengan perlantikan salah satu daripada kedua kaum tersebut sebagai khalifah.Mendengar penjelasan Sayyidina Abu Bakar lalu Hubab bin al-Munzir dari kaum Khazraj bangun mencadangkan agar dua orang khalifah dilantik iaitu seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang lagi daripada golongan Ansar. Sayyidina Umar menolak cadangan ini kerana dua orang ketua tidak boleh memimpin dan mentadbir sebuah negara di mana perselisihan faham antara keduanya sering berlaku yang membawa kepada keruntuhan negara.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Pertikaian menjadi bertambah hangat sehinggalah Sayyidina Abu Bakar tampil menenangkan suasana dan menyejukkan perasaan golongan Ansar dengan kata-katanya : Kami adalah Umara’ (ketua) dan kalian adalah Wuzara’(menteri pembantu). Kata-katanya ini disokong oleh Saad bin Ubadah dan kemudiannya Sayyidina Abu Bakar memberikan nama cadangannya iaitu Sayyidina Umar dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah sebagai calon untuk dilantik sebagai khalifah. Walau bagaimanapun Sayyidina Umar dengan pantas mengangkat tangan Sayyidina Abu Bakar dan membaiahnya atau janji setia terhadap perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah. Beliau telah berkata : ” Demi Allah! aku lebih suka dibawa ke hadapan lalu ditebas leherku tanpa dosa daripada diangkat sebagai pemimpin suatu kaum di mana terdapat Abu Bakar”. Setelah mendengar kata-kata Sayyidina Umar lalu semua yang hadir terus membaiah Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah tanpa pertikaian lagi termasuk Saad bin Ubadah. Sayyidina Ali sendiri telah memberi baiah untuk kali pertama kepada perlantikan Sayyidina Abu Bakar pada hari Selesa keesokannya sebelum memberi bai’ah untuk kali kedua 6 bulan selepas itu iaitu selepas kewafatan isterinya Siti Fatimah yang juga merupakan salah seorang puteri nabi. Di sini kita dapat lihat bagaimana cermat dan berhati-hatinya umat Islam dalam memilih khalifah kerana ia bersangkutan dengan akhirat bukan sebagaimana dakwaan golongan sekulerisme yang memisahkan antara pemerintahan dan agama. Pemisahan antara urusan dunia dengan akhirat menyebabkan dunia huru-hara dan kezaliman bermaharajalela.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Sayyidina Abu Bakar memiliki kelayakan untuk menjadi khalifah. Rasulullah s.a.w sendiri sering memberikan kepercayaan kepada beliau antaranya tentang persetujuan baginda terhadap pandangan beliau sewaktu menyelesaikan kes tawanan perang Badar, keduanya Sayyidina Abu Bakar telah diberikan kepercayaan dalam mengendalikan urusan haji ke Mekah pada tahun 10 Hijrah dan beliau juga berperanan sebagai imam solat menggantikan baginda pada 11 Hijrah sewaktu baginda uzur. Pernah suatu hari Sayyidina Umar menjadi imam apabila diminta kerana Sayyidina Abu Bakar tidak kelihatan yang menyebabkan Rasulullah s.a.w yang sedang sakit apabila terdengar bukan suara Sayyidina Abu Bakar menjadi imam lalu baginda menyatakan rasa tidak puas hati. Malah nabi juga ada menyebut tentang kelebihan Sayyidina Abu Bakar termasuk dalam khutbahnya yang terakhir.
Sayyidina Abu Bakar ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah lalu beliau menyampaikan ucapan antaranya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku.
Ucapan ini menyatakan kepada kita bagaimana pimpinan mestilah telus dan terikat dengan perundangan sebagaimana yang dikenakan terhadap rakyat jelata bukannya pemimpin kebal daripada sebarang perundangan yang menyebabkan kezaliman berleluasa.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Sayyyidina Abu Bakar turut menyatakan bahawa penerimaan terhadap jawatan khalifah itu adalah kerana umat Islam bersepakat membai’ahnya dan kebimbangannya jika berlakunya fitnah dan murtad jika beliau menolak bai’ah tersebut. Perkara ini menunjukkan bagaimana pentingnya khalifah untuk mengurus urusan dunia dan menjaga amanah agama bukannya pimpinan itu untuk mencari kekayaan dunia sehingga timbulnya politik wang, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Sebab itulah ulama’ hari ini mula menerima kembali jawatan sebagai pimpinan apabila golongan pemerintah sebelum ini ramai yang mengkhianati amanah dan memerangi agama walau pun beragama Islam sehingga ramai ulama’ yang dibunuh. Penerimaan jawatan ini bukan kerana mahu kemewahan tetapi bagi memastikan amanah agama ditunaikan dengan sebaiknya menurut kehendak Allah dan rasulNya.
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
ياأيها الذين ءامنوا إن تطيعوا الذين كفروا يردوكم على أعقــبكم فتنقلبوا خــسرين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment