Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Monday, March 21, 2011

Jawatan suatu amanah bukan anugerah

KEWAJIPAN menunaikan amanah adalah tuntutan utama dalam agama Islam. Punca utama kerosakan umat, kegawatan ekonomi dan kepincangan politik hari ini adalah disebabkan amanah yang sudah tidak diberi perhatian lagi.
 
Kepemimpinan adalah amanah yang penting kerana ia berkait rapat dengan pengurusan umat. Abu Zar pernah meminta jawatan kepada Baginda Nabi SAW lalu Baginda menepuk bahu Abu Zar seraya berkata: “Wahai Abu Zar, engkau tidak mampu. Jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.” – (Hadis riwayat Muslim)

Di sinilah bermula kesinambungan pelaksanaan agama dalam menjalankan amanah kepemimpinan yang berpaksikan kepada perintah dan tegahan daripada Allah SWT. Oleh itu, jawatan disandang akan mendorong ke arah menepati kehendak Allah seterusnya menjamin keselamatan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Kami jadikan negeri akhirat itu untuk mereka yang tidak mengimpikan ketinggian di dunia dan tidak melakukan kerosakan.” – (Surah Al-Qasas, ayat 83)

Memetik khutbah Imam Dua Madinah, Syeikh Husain Abd Aziz, Islam mewajibkan semua pemimpin berlaku adil dalam semua urusan berkaitan kepemimpinannya sehingga Nabi SAW meletakkan kedudukan pemimpin yang adil setaraf mereka yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu mengembalikan amanah kepada empunyanya dan hukumlah dengan adil antara sesama manusia.” – (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Daripada Abdullah Bin Umar, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Orang yang adil akan disediakan untuk mereka satu mimbar yang diperbuat daripada cahaya cukup indah sehingga menarik perhatian semua penghuni syurga.” – (Hadis riwayat Muslim).

Pada masa sama, Allah mengingatkan supaya menjauhi sifat zalim yang membinasakan. Ketika Nabi SAW ingin menghantar Muaz ke Yaman, Baginda berpesan: “Wahai Muaz, takutlah kamu dengan doa orang yang kena zalim kerana tiada hijab antara doa mereka dengan Allah.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
p
Islam menggariskan beberapa panduan terhadap pemimpin yang dilantik antara perkara perlu untuk dilakukan kepada rakyat:

* Berlembut dan bersifat peri kemanusiaan terhadap rakyat jelata.

* Prihatin terhadap mereka.

* Merendah diri dengan mereka.

* Mendengar dan memahami keperluan mereka.

* Mengajak dan mendorong rakyat supaya melakukan kebaikan.

* Membimbing dan menasihati mereka ke jalan yang baik.

* Mendengar pandangan yang berguna dari semua pihak dan berbincang dengan hikmah dan bijaksana.


Sabda Rasul yang bermaksud: “Sesiapa yang diberi jawatan lalu menyekat keperluan rakyatnya dengan jawatannya itu, nescaya Allah akan menyekat keperluannya di hari kiamat kelak.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Seorang pemimpin yang baik juga didorong oleh mereka yang berada di sekelilingnya sebagai pembantu bagi melaksanakan misinya.

Sabda Nabi yang maksudnya: “Jika Allah menginginkan seorang pemimpin yang baik, maka Allah akan jadikan untuknya pembantu yang sentiasa mengingatinya jika terlupa. Begitu juga sebaliknya jika Allah menginginkan seorang pemimpin yang tidak baik.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai’)

Islam melarang keras pemimpin menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi. Nabi SAW bersabda dengan maksud: “Sesiapa yang menggunakan kedudukannya untuk menguruskan harta orang ramai ke jalan yang tidak benar, maka mereka akan mendapat seksaan di hari akhirat kelak.” – (Hadis riwayat Bukhari)

No comments:

Post a Comment