Sudah sunnatullah di mana setiap yang bernyawa pasti menemui mati tanpa mengira darjat dan pangkat, usia dan harta. Setiap sesuatu pertemuan turut ada waktu perpisahnya. Pemimpin pula ada yang datang dan ada pula yang pergi di mana yang datang dirai dan yang pergi ditangisi. Pemimpin ada perbezaan dari banyak sudut keperibadiannya terutama dari segi sikap dan akhlaknya di mana pemimpin yang amanah disanjung tinggi dan yang zalim dimaki dan dibenci.Rakyat juga ada pelbagai ragam dan keadaannya di mana bagi yang bijak sentiasa peka dengan keadaan negara di mana mereka sedia bangun mengkritik apabila ada kesilapan pemimpin dan bersedia berkhidmat dalam membangunkan negara. Ada pula rakyat hanya sanggup menjadi pak turut sehingga mereka turut bersekongkol dengan pemimpin yang zalim. Sesebuah negara tidak mampu membina tamadun yang tinggi jika rakyat terkongkong dan terpenjara daripada menegur apa yang silap sedangkan pemimpin terus bermaharajalela melakukan pembaziran dengan duit amanah rakyat
Pemimpin terdiri daripada beberapa golongan di mana yang pertama daripada kalangan orang kaya sebelum menjadi pemimpin dan terus kaya selepas dilantik menjadi pemimpin.Pemimpin jenis ini ada yang amanah dan ramai juga yang tidak jujur ketika melaksanakan amanah kepimpinan. Golongan kedua ialah pemimpin yang miskin sebelum menjadi pemimpin sebaliknya menjadi orang kaya baru selepas berada di atas takhta kepimpinan sesebuah negara. Pemimpin jenis ini begitu merbahaya serta mempunyai bilangan yang ramai pada hari ini di mana pemimpin dari jenis ini kebanyakannya tidak amanah kerana membina kekayaan hasil rompakan terhadap harta rakyat jelata. Pemimpin jenis ketiga pula ialah pemimpin yang kaya sebelum memimpin dan menjadi miskin selepas dilantik kerana begitu mengambil berat terhadap kebajikan dan amanah rakyat sehingga kekayaannya turut disumbangkan kepada rakyat. Pemimpin jenis ini agak kurang jumlahnya pada hari ini dan begitu sukar dilahirkan pada akhir zaman ini yang sememangnya penuh dengan pelbagai fitnah dunia.Jenis pemimpin yang keempat ialah pemimpin yang keadaanya miskin sebelum dan selepas menjadi pemimpin di mana tidak terdetik di hatinya untuk membina kekayaan bagi melarikan daripada kemiskinan yang membelenggunya selama ini sebaliknya dia lebih rela memimpin dalam keadaan miskin asalkan rakyat terus kaya dan Allah sentiasa redha dengan kepimpinannya. Oleh itu fikir dan timbangkanlah kita dengan keadaan pemimpin kita pada hari ini di manakah kedudukan dan jenis mereka. Jika dioa seorang yang amanah maka berjuanglah bersamanya tetapi jika dia seorang pengkhianat maka nasihatkannya agar segera bertaubat atau ditarik daripada tampuk pemerintahan jika terus berdegil.
Pemimpin adalah salah satu golongan yang bakal duduk di bawah bayangan ‘Arasy pada hari di mana tiada lagi bayangan lain yang mampu melindungi manusia daripada kepanasan terik mentari di tengah-tengah padang mahsyar. Kelebihan ini hanya mampu diraih oleh pemimpin yang adil dan bertaqwa yang mampu memberi khidmat dan menunaikan amanah kepada rakyat sesuai dengan kedudukan pemimpin itu sendiri sebagai khadam bagi rakyat bukannya rakyat menjadi hamba abdi kepada pemimpin.Kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah begitu tinggi sesuai dengan amanah besar kepemimpinan yang terpaksa dipikul. Tetapi perlu diingat bahawa daripada 3 orang pemimpin atau hakim hanya seorang sahaja yang terpilih sebagai orang yang benar-benar layak untuk merasai nikmat Syurga Allah sedangkan 2 yang lain bakal menghuni neraka yang begitu berat siksaannya. Oleh itu bagi mereka yang benar-benar memahami tugas berat yang bakal menimpa pemimpin di mana dalam kehidupan dunia ini terpaksa memikul betapa beratnya tanggungjawab dan di akhirat pula terpaksa menjawab segala soalan yang begitu hebat terhadap segala amanah yang telah dilaksanakan. Jika benar amanah maka beruntunglah dia sebaliknya jika mengkhianati amanah maka betapa ruginya dia. Melihat kepada besarnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin di dunia dan akhirat maka bagi mereka yang begitu memahaminya di mana dia sentiasa lari daripada dilantik menjadi pemimpin sebaliknya bagi mereka yang jahil tentangnya serta hanya tahu mengejar takhta demi mengumpul kekayaan dunia maka dia sentiasa mengejar pangkat dan jawatan yang ada tanpa memikir tentang pahala dan dosa.
Setelah melihat betapa penting dan besarnya amanah kepimpinan maka kita mestilah berhati-hati dalam memilih pemimpin kerana kita turut akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti tentang sebab kita memilih seseorang itu sebagai pemimpin. Jika kita memilih pemimpin yang soleh dan adil maka kita akan bahagia dunia dan akhirat sebaliknya apabila tersilap memilih pemimpin sesat dan zalim maka kita akan tersiksa dunia dan akhirat di mana di dunia kita akan tertindas dengan kezalimannya manakala di akhirat pula kita mungkin akan digolongkan bersama pemimpin zalim kerana terpedaya dengan fatwa palsu mereka semasa di dunia sehingga kita mengenepikan hukum Allah. Ingatlah bahawa kepimpinan dan amanah buka semata-mata amalan dunia tetapi ia akan ditanya di hadapan Allah pada hari akhirat nanti. Tepuklah dada tanyalah siapakah pemimpin yang benar dan siapa pula yang salah dari segi agama bukannya mengikut selera nafsu kita.
No comments:
Post a Comment