Mekanisme penting lahir insan berjiwa bersih, miliki sifat terpuji diutarakan Islam
PADA prinsipnya, insan diciptakan Allah SWT dalam keadaan fitrah. Dapat difahami insan dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih daripada sifat tercela. Namun begitu, dalam proses perkembangan sebagai seorang manusia, perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang akan mengujinya untuk menjadi insan terpuji. Islam memberi panduan bahawa jiwa setiap insan perlu disuburkan dengan nilai rohaniah yang berfungsi sebagai pelengkap kepada akhlak manusia.
Justeru, nilai dinyatakan itu menjadi pendorong dan pemangkin kepada seluruh perlakuan dan tingkah laku manusia yang memantulkan tindakan yang bersifat mahmudah seperti amanah, sabar, toleransi, ikhlas, bertanggungjawab, berfikiran positif dan sebagainya. Kepentingan menghayati nilai terpuji yang diutarakan Islam bertujuan memberi panduan kepada jiwa insan supaya selari dengan konsep khilafah dan khalifah al-ard.
Proses melahirkan insan yang memiliki hati budi luhur memerlukan unsur yang bertindak sebagai daya membentuk acuan keperibadian unggul. Bagi memenuhi aspirasi objektif murni itu, konsep tadhkiyyah dilihat sebagai mekanisme yang penting untuk membersihkan jiwa manusia daripada dicemari unsur yang menghalang pintu hati daripada menerima hidayah Ilahi. Dengan kata lain, nilai terkandung dalam konseptual tadhkiyyah dilihat sebagai ejen penyucian bersifat dinamis bagi membersihkan zahir dan batin manusia melalui terapi rohaniah. Di samping itu, ia turut membersihkan sistem jaringan manusia sama ada membabitkan interaksi manusia dengan Allah, sesama manusia, alam dan juga makhluk lain.
Oleh kerana insan dikategorikan sebagai makhluk dwidimensi iaitu zahiriah dan batiniah, ia dianugerahkan potensi istimewa sama ada cenderung kepada kebaikan atau sebaliknya. Meskipun manusia diberi alternatif memilih dua jalan itu atas kapasitinya sebagai khalifah al-ard, namun ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas pilihan itu.
Ini kerana, manusia dikurniakan keupayaan istimewa berbanding makhluk lain iaitu potensi akliah, rohaniah, jasmaniah dan bimbingan wahyu bersesuaian dengan fungsinya memakmurkan alam ini. Atas keperluan ini, konsep tadhkiyyah dilihat sebahagian daripada keperluan rohaniah yang penting kepada manusia sebagai persediaan mencapai kedudukan tinggi atau dikenali sebagai insan kamil.
Dalam mengupas persoalan ini, intelektual falsafah Islam seperti al-Ghazali dalam karyanya bertajuk ‘Keajaiban-keajaiban hati’ memberikan pandangan konsep tadhkiyyah digagaskan Islam perlu mencakupi unsur nilai tertentu. Pada asasnya, unsur itu perlu dicantumkan untuk membentuk kerangka asas kepada konsep tadhkiyyah seperti dituntut syarak.
Unsur nilai yang dinyatakan adalah seperti berikut:
# Taharah yang memberi konotasi menyucikan tubuh badan manusia daripada najis dan benda kotor pada syarak;
# Membersihkan anggota tubuh badan manusia daripada perbuatan atau tindakan yang diklasifikasikan sebagai dosa;
# Membersihkan pandangan mata hati manusia daripada tingkah laku dikategorikan sebagai akhlak yang buruk dan dikeji syarak;
# Membersihkan aspek batiniah manusia daripada memfokuskan perhatian kepada semua perkara melainkan kepada Allah SWT;
# Ibadah yang memberi maksud mengabdikan diri kepada Allah SWT secara mutlak;
# Dhikir bermaksud manusia sentiasa melazimi mengingati Allah dan mengiktiraf kebesaran-Nya secara istiqamah setiap masa;
# Doa sebagai makhluk yang lemah, manusia sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon bantuan dan pertolongan;
# Taubat manusia sentiasa menginsafi setiap tindakan yang dilakukan dan mendisiplinkan diri memohon keampunan kepada Allah ke atas segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan;
# Sabar yang menjadi sebahagian daripada nilai luhur yang dituntut untuk dihayati oleh setiap manusia. Melalui nilai itu, ia dapat meningkatkan daya ketahanan dalaman diri manusia bersabar menerima segala ujian yang telah ditentukan oleh Allah;
# Muhasabah iaitu apabila wujudnya penghayatan nilai ini dalam diri manusia, ia akan membuka pintu kesedaran pada hati dan akal manusia untuk menilai dan mengkritik setiap tindakan yang dilakukan menurut pertimbangan syarak.
Justeru, apabila wujudnya keharmonian, unsur yang dinyatakan dalam ruang lingkup konsep tadhkiyyah, ia menjadi panduan kepada manusia untuk diterjemahkan dalam tindak-tanduknya. Hakikatnya, perbuatan manusia yang diwarnai konsep tadhkiyyah ternyata memberi kesan positif terhadap perlakuannya.
Ini kerana konsep itu dilihat sebagai terapi batin bagi merawat penyakit rohani yang dihadapi manusia. Jiwa manusia yang bertuhankan hawa nafsu sering gemar kepada perlakuan keji seperti hasad dengki, tamak, menipu, rasuah, membunuh, berzina dan sebagainya. Dengan kata lain, jiwa manusia yang terpengaruh kepada bisikan syaitan dan hawa nafsu akan menzahirkan nilai tercela dalam tindakan mereka.
No comments:
Post a Comment