Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Wednesday, December 8, 2010

Wujudkan kumpulan pemikir Muslim

Wujudkan kumpulan pemikir Muslim
JOHOR BAHRU 8 Dis. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan negeri mewujudkan kumpulan pemikir Islam bagi membendung masalah yang berpunca daripada penyalahgunaan teknologi maklumat (IT).
Titah baginda, kumpulan pemikir Islam itu harus dianggotai para pakar termasuk ulama, perundangan, cendekiawan, pakar sejarah, sasterawan, pendidik dan penyelidik.
Sultan Ibrahim bertitah, kumpulan pemikir itu wajar membincang dan menganalisis apa juga masalah masyarakat Islam serta mencari jalan penyelesaian secara bijaksana dan berhemah.
“Saya mencadangkan perkara ini kerana bimbang dengan perkembangan IT yang sedikit sebanyak menimbulkan kesan sampingan dalam masyarakat khasnya dari segi akidah, ibadah, fahaman mengenai Islam dan perpaduan ummah,” titah baginda.
Baginda bertitah merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Selain itu, tegas Sultan Johor, kerajaan negeri juga wajar menubuhkan pusat pemurnian akidah dan pusat kajian, penyelidikan, pengembangan dan penyebaran mazhab Shafie.
Menurut baginda, pusat itu akan bertanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan serta mengadakan kursus dan bengkel agama, bimbingan akidah dan sebagainya kepada umat Islam.
Sultan Ibrahim turut menggesa supaya penyebaran ilmu menerusi penulisan sama ada dalam bentuk artikel atau penulisan buku sebagai yang diamalkan ulama silam seperti Imam Al Ghazali, Imam As-Syafie dan ramai lagi hendaklah dilakukan dengan lebih giat.
“Semoga dengan cara demikian masyarakat Islam dapat memahami dan mendalami Islam secara menyeluruh dan mampu membuat pertimbangan serta tidak menjadi ‘pak turut’ atau ikut-ikutan sahaja,” titah baginda.
Baginda menyeru seluruh umat Islam di negeri ini mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipegang hingga ke hari ini dan terus mengamalkan ajaran Islam berdasarkan mazhab Shafie.
Sumbr : Utusan.

No comments:

Post a Comment