Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Sunday, December 5, 2010

Lima Musuh Orang Beriman Part 1

Sedar atau tidak sedar, apabila seorang muslim mengucapkan dua kalimah syahadah, telah terpikul dibahunya akan satu tanggungjawab yang besar. Iaitu untuk memperjuangkan kalimah Allah di mukabumi sebagai khalifah Allah. Dalam memperjuangkan kalimah Allah ini, maka para pejuang kebenaran akan berhadapan dengan 1001 macam mehnah yang dilahirkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan untuk menjauhkan seorang muslim dari mendekati Allah SWT.

Apabila persoalan musuh diketengahkan, terlalu ramai umat Islam menyangkakan musuh Islam hanyalah Yahudi dan Nasrani. Lebih-lebih lagi, akhir-akhir ini slogan membebaskan Gaza dari cengkaman Yahudi disemarakkan oleh mereka-mereka yang mengaku pejuang Islam walau rokok Marlboro dari Amerika masih menjadi hiasan bibir mereka dan ayam goreng KFC menjadi santapan hidangan mereka. Maka berkumpullah mereka berdemonstrasi dan membakar bendera Israel, memaki hamun dan beremosi.

Hakikatnya, mereka terlupa bahawa musuh Islam itu bukan hanya Yahudi dan Nasrani. Malah ada lagi empat musuh yang lebih bahaya dari itu. Antaranya yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan lebih bahaya dan lebih licik. Andainya seorang muslim, gugur di medan perang ditembak Yahudi dek mempertahankan kalimah Allah, syahid baginya. Namun andainya seorang muslim gugur dan kecundang dengan musuh yang satu lagi ini iaitu musuh yang lebih merbahaya dari Yahudi dan Nasrani, amat malanglah nasibnya di dunia dan di akhirat.

Sipakah musuh bagi orang mukmin ?

Sabda Rasulullah SAW

“Seorang mukmin selalu dikelilingi lima musuh yang membahayakan, iaitu seorang mukmin yang hasad, orang munafiq yang membenci, orang kafir yang memerangi, syaitan yang menyesatkan dan hawa nafsu yang menyeretmu. (Termidzi)


Pertama : Golongan mukmin yang hasad iaitu dari kalangan umat Islam tetapi mereka melakukan berbagai maksiat dan mungkar. Umat Islam yang bergelumang dengan mungkar dan maksiat ini akan menyimpan perasaan dengki sesama muslim. Mereka iri hati dan susah hati jika ada seorang muslim yang lain mampu membuat sesuatu amal kebajikan yang dia tidak mampu lakukan. Bila dia lihat ada saudara seIslamnya mampu beribadah, dia dengki dan dia benci. Jika ada saudara seIslamnya yang kuat berjihad sedangkan dia tidak mampu berjihad, dia tabor fitnah dan mengadu domba memburuk-burukkan sahabatnya itu. Hakikatnya, mereka inilah yang menjadi punca perpecahan umat Islam. Andainya dia tidak ubah sifatnya, tak mustahil statusnya berubah dari mukmin yang hasad dengki kepada golongan munafik.

Tak kurang juga golongan ini terdiri dari orang muslim yang a’si, yang fasiq yang memperolehi nikmat dunia bersumberkan maksiat dan mungkar. Bagi mereka kebaikan dan amal soleh hanya menghalang mereka dari mengecapi nikmat yang diperolehi dari maksiat yang dikerjakan. Mereka benci jika ada orang berdakwah dan ajak orang kea rah kebaikan, kerana jika semua orang baik, dia sudah tidak boleh zina, tidak boleh minum arak, tidak boleh hisap dadah. Maka timbullah kebencian dalam diri mereka. Jika disuluh peribadi tingakatan iman, golongan mukmin yang hasad ini memiliki nafsu ammarah dan berada di tingkatan iman taqlid atau iman ilmu.

Firman Allah SWT :

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan kepadamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkanmu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” (Ali-Imran: 118)

Bagaimana hendak berhadapan dengan musuh dari kalangan mukmin yang hasad ini ?

Cara untuk berhadapan dengan kejahatan yang dilahirkan oleh manusia muslim yang hasad dengki ialah dengan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita. Dalam kitab dibahaskan empat cara iaitu :

  1. Membalas kejahatan dengan kejahatan. Cara ini lebih baik ditinggalkan kerana ia akan menyebabkan perpecahan. Seorang mumin yang hasad, sikap hasad itu menyemai benih perpecahan, dan perpecahan melemahkan kekuatan lantas menghancurkan dasar keimanan kerana Rasulullah SAW ada memberi peringatan : “Hasad akan memakan kebaikan seperti api memakan sekam” . Andainya cara pertama ini yang kita pilih untuk memerangi mukmin yang hasad, hakikatnya kita sendiri saling tidak tumpah, sama sahaja dengan mukmin yang hasad tersebut.
  2. Berlaku diam, iaitu tidak membalas kejahatannya. Ini susah dilaksanakan kerana ia memerlukan mujahadatunnafsi dan sifat sabar. Dan ingatlah, sabar adalah sifat yang dimiliki oleh golongan bighairi hisab di yaumil mahsyar nanti.
  3. Kejahatannya dibalas dengan kebaikan. Pelaksanaannya amat sukar sekali diibaratkan seperti mencabut nyawa dari badan. Tahap kesabaran yang lebih tinggi dari kaedah kedua di atas. Cuba bayangkan, orang mendatangkan kepayahan kepada kita, tetapi kita balas dengan senyuman kepadanya. Mampukah kita lakukan ? Dan dalam pendekatan perjuangan Islam, dalam memberi kebaikan dalam membalas kejahatan yang dilakukan, seorang Muslim hendaklah menyampaikan seruan dakwah secara berhikmah dan berakhlak kepada mereka yang berbuat jahat. Seru mereka, didik mereka, dakwah mereka, ke arah iman dan akhlak Islamiah. Dan  inilah sebaik-baik cara kerana tingatannya lebih tinggi dari kaedah kedua.
  4. Mendoakan mereka agar dipimpin Allah ke arah keinsafan dan iman.

Antara keempat-empat cara memerangi orang mukmin yang hasad, hindarilah kaedah yang pertama. Dan sebaik-baik cara berhadapan dengan mereka ialah kaedah ketiga dan keempat. Kita balas kejahatan yang mereka lakukan dengan kebaikan. Antara kebaikan yang boleh ita lakukan ialah dengan memberi nasihat kepada mereka. Dengan memberi ilmu kepada mereka. Dengan membantu mereka beramal dengan ilmu mereka.Dan lainlain kebajikan yang mampu kita berikan sebagai khidmat kita kepada mereka atas jalan iman dan taqwa. Lantas, kita berdoa kepada Allah agar mereka dan diri kita serta seluruh umat Islam diberikan ampunan dan kekuatan dalam beribadah kepada NYA. 

Musuh mukmin yang kedua ialah orang munafik. Golongan Munafik adalah golongan yang menzahirkan diri sebagai Muslim sambil menyembunyikan kekafiran mereka. Mereka boleh memperkatakan tentang Islam, mereka alim dan arif tentang ilmu-ilmu Islam, mereka petah dan lancar membicarakan dan membahaskan hal ehwal Islam, tetapi disebalik penzahiran Islam mereka, terkandung agenda untuk merosakkan dan menyesatkan umat Islam. Kaum munafik ini diibaratkan bagai "musang berbulu ayam" atau "musuh dalam selimu". Mereka menzahirkan keislaman mereka, lantas kita sukar untuk mengenali mereka melainkan perkhabaran yang datangnya dari Rasulullah SAW serta tanda-tanda yang disebut di dalam Al Quran. Firman Allah dalam Surah Al Munafiqun ayat 1 hingga 6 :

إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ قَالُواْ نَشۡہَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ ۥ وَٱللَّهُ يَشۡہَدُ إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ (١) ٱتَّخَذُوٓاْ أَيۡمَـٰنَہُمۡ جُنَّةً۬ فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّہُمۡ سَآءَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٢) ذَٲلِكَ بِأَنَّہُمۡ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ فَهُمۡ لَا يَفۡقَهُونَ (٣) ۞ وَإِذَا رَأَيۡتَهُمۡ تُعۡجِبُكَ أَجۡسَامُهُمۡ‌ۖ وَإِن يَقُولُواْ تَسۡمَعۡ لِقَوۡلِهِمۡ‌ۖ كَأَنَّہُمۡ خُشُبٌ۬ مُّسَنَّدَةٌ۬‌ۖ يَحۡسَبُونَ كُلَّ صَيۡحَةٍ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ هُمُ ٱلۡعَدُوُّ فَٱحۡذَرۡهُمۡ‌ۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ أَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ (٤) وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ يَسۡتَغۡفِرۡ لَكُمۡ رَسُولُ ٱللَّهِ لَوَّوۡاْ رُءُوسَهُمۡ وَرَأَيۡتَهُمۡ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسۡتَكۡبِرُونَ (٥) سَوَآءٌ عَلَيۡهِمۡ أَسۡتَغۡفَرۡتَ لَهُمۡ أَمۡ لَمۡ تَسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ لَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَهُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ (٦)

Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. (1) Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (2) (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah). (3) Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)? (4) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh. (5) (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, samada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang fasik. (6)

Golongan ketiga ialah golongan kafir harbi, iaitu kafir yang memusuhi dan memerangi.


Golongan kafir. Mereka terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu:
a.      Kafir Harbi – iaitu mereka yang menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam samada seperti menyerang, membunuh, menyiksa, menekan, dan sebagainya. Sebagai contoh, golongan Yahudi Zionis yang menyerang umat Islam di Palestin.
b.      Kafir dzimmi – iaitu golongan kafir yang tidak menzahirkan permusuhan dengan umat Islam samada yang tinggal bersama umat Islam ataupun yang mendiami Negara yang berasingan dan tidak memusuhi umat Islam secara jelas. Mereka ini mengamalkan sikap perdamaian dan toleransi sesama umat Islam.  Maka umat Islam disaran untuk menjalinkan hubungan baik, saling hormat menghormati, bantu-membantu disamping menyampaikan seruan dakwah kepada mereka. Andainya dalam sesebuah negara Islam, maka kebajikan dan keselamatan kafir dzimmi ini hendaklah dijaga dan pertahankan oleh pemerintah Islam dari dicabul haq mereka.

Bagi kafir harbi, mereka akan memerangi bukan sahaja umat Islam, malah mereka juga memerangi kafir dzimmi. Cara mereka memerangi tak semestinya melalui senjata api.Tetapi melalui pelabagai sudut dan elemen cara hidup. Mereka memerangi kita melalui pendidikan. Sekolah-sekolah mereka menafikan kebenaran Islam. Mereka memerangi kita melalui kebudayaan, mereka galakkan pergaulan bebas. Mereka perangi kita melalui kesihatan, anak-anak umat Islam yang dilahirkan didendangkan dengan lagu-lagu gereja. Mereka perangi kita dengan ekonomi berlandaskan riba'. Mereka perangi kita dengan media cetak dan media elektronik yang dengan majalah-majalah lucah dan merosakkan akhlak remaja. Mereka perangi kita dengan pelbagai cara dan elemen.Yang penting umat Islam hancur binasa. Lantaran itu maka rosaklah akhlak umat Islam. 

Bagaimana hendak menghadapi golongan kedua (munafik) dan golongan ketiga (kafir harbi) ini ?

 Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah : 190 - 193 :

وَقَـٰتِلُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ (١٩٠)وَٱقۡتُلُوهُمۡ حَيۡثُ ثَقِفۡتُمُوهُمۡ وَأَخۡرِجُوهُم مِّنۡ حَيۡثُ أَخۡرَجُوكُمۡ‌ۚ وَٱلۡفِتۡنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلۡقَتۡلِ‌ۚ وَلَا تُقَـٰتِلُوهُمۡ عِندَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ حَتَّىٰ يُقَـٰتِلُوكُمۡ فِيهِ‌ۖ فَإِن قَـٰتَلُوكُمۡ فَٱقۡتُلُوهُمۡ‌ۗ كَذَٲلِكَ جَزَآءُ ٱلۡكَـٰفِرِينَ (١٩١) فَإِنِ ٱنتَہَوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٩٢) وَقَـٰتِلُوهُمۡ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتۡنَةٌ۬ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ‌ۖ فَإِنِ ٱنتَہَوۡاْ فَلَا عُدۡوَٲنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ (١٩٣)


Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.(190) Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir. (191) Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (192) Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim. (193)   (Al Baqarah : 190-193)

Setiap serangan dari golongan kafir harbi dan munafik ini, kita balas serangan mereka berdasarkan syariat dan kita jangan melampaui batas. Orang yang melampaui batas adalah orang yang zalim. Berlaku zalim bukan dari ajaran Islam.

Andainya kita diserang dengan pendidikan musuh yang meruntuhkan akhlak umat Islam khususnya remaja. Maka serang semula dengan mewujudkan pendidikan Islam yang mengajar umat Islam untuk rasa bertauhid dan beribadah. Andainya kita diserang dengan ekonomi riba’ oleh musuh, maka serang semula dengan mewujudkan ekonomi Islam yang mampu menyebarkan kekayaan Negara kepada seluruh masyarakat dan menjadi tunjang kea rah pembangunan Negara. Andainya kita diserang dengan kebudayaan kuning musuh yang beterasakan pergaulan bebas tanpa batasan, arak dan maksiat, maka kita serang semula dengan kebudayaan Islam dengan menzahirkan syariat dalam berhibur, berpakaian, bermasyarakat dan sebagainya. Andainya kita diserang dengan makanan yang haram, maka kita serang semula dengan mewujudkan industry dan kilang makanan halal.Andainya kita diserang dengan sistem perubatan kafir yang menyebabkan maruah aurat kita terdedah, maka kita wujudkan sistem perubatan Islam yang bukan saja menjaga maruah pesakit, malah memberikan rawatan dengan caj yang setimpal. Dan begitulah seterusnya. Jangan sesekali kita melampaui batas dalam membalas serangan musuh dari golongan kedua dan ketiga.

Di sini letaknya peranan membangun hablumminannas. Hablumminannas adalah hubungan sesama manusia. Di dalamnya terangkum tuntutan fardhu kifayah dalam membina hubungan dan menjaga hal ehwal sesama manusia, tak kira sama ada manusia itu beragama Islam, mahu pun bukan Islam. Andainya tuntutan hablumminannas ini tertunai, hakikatnya terjagalah kebajikan umat Islam. Terlindung dan terselamatlah kepentingan dan maruah umat Islam. Kerana umat Islam sudah tidak bergantung lagi kepada kaum munafik dan kafir harbi yang sentiasa memusuhi Islam. Cuba bayangkan andainya tuntutan hablumminannas terlaksana. Masyarakat kita ada sistem pendidikan Islam dari peringkat tadika sehingga universiti. Masyarakat kita ada rangkaian jaringan ekonomi dari peringkat gerai kecil-kecilan atau kiosk, membawa kepada mini market, kepada supermarket, kepada hypermarket, kepada import & export. Masyarakat Islam kita punyai industri kecil, sederhana, dan besar dalam menghasilkan produk-produk keperluan harian umat Islam yang dijamin halalan toyyiban. Masyarakat Islam punyai hospital Islam menyediakan kemudahan rawatan dan perubatan bersyariat. Masyarakat Islam punyai stesen penyiaran sendiri dalam menyalurkan informasi Islam dan dakwah. Masyarakat Islam punyai sistem kebudayaan Islam yang memperomosi hiburan cara Islam, berpakaian cara Islam, berakhlak dan berinteraksi secara Islam. Dan lain-lain lagi. Alangkah indahnya. Waktu itu bukan sahaja umat Islam mendapat manfaat atas kedamaian dan ketenangan yang terzahir, malah masyarakat bukan Islam juga dapat menumpang keamanan dan perkhidmatan yang ada.

Tetapi

Andainya umat Islam gagal membangunkan hablumminannas, maka terhinalah mereka kerana terpaksa bergantung hidup dengan hasil dan produk keluaran musuh-musuh Islam.

Firman Allah SWT dalam Al Imran : 112 :

ضُرِبَتۡ عَلَيۡہِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيۡنَ مَا ثُقِفُوٓاْ إِلَّا بِحَبۡلٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلٍ۬ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتۡ عَلَيۡہِمُ ٱلۡمَسۡكَنَةُ‌ۚ ذَٲلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلۡأَنۢبِيَآءَ بِغَيۡرِ حَقٍّ۬‌ۚ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ (١١٢)

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).

To Be Continue ..........

Library USIM
by Mat Taiko

No comments:

Post a Comment