Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Sunday, December 5, 2010

MENGHARAP HUSNUL KHATIMAH

ASSALAMUALAIKUM..

Sahabat, ajal tidak memilih, meragut nyawa makhluk sebaik sahaja cukup masanya, tanpa sesaat lewat atau cepat. Tua, muda, miskin, kaya, kecil mahupun besar tidak dapat lari daripada buruannya. Tiada yang dapat menghalang dan menahan apabila ia tiba. Satu-satunya perkara yang dapat kita lakukan adalah mempersiapkan diri menyambutnya dengan husnul khatimah.

Dikisahkan sebelum imam Hasan al-Basri menjadi seorang ulama, dia pernah dijemput oleh seorang Bizantium bagi melihat sebuah khemah yang dibuat daripada tenunan indah yang  dipilih tali-tali daripada sutera dan bertiangkan emas. Dari kejauhan sudah kelihatan tiba-tiba tanah berkepul dan datanglah satu pasukan berpakaian perang masuk ke dalam khemah itu. Beberapa lama kemudiannya mereka pun pergi.

Selepas itu, datang pula lebih kurang empat ratus cendekiawan negara, mengelilingi dan kelihatan bercakap-cakap kemudiannya pergi.
Datang pula selepas itu lebih kurang 300 orang dukun yang berpengaruh, kelihatan bercakap-cakap lalu  pergi.
Terakhir datang pula 200 dayang membawa dulang berisi emas dan permata. Mereka bercakap-cakap sebentar kemudiannya berlalu pergi.

Imam Hassan al-Basri bertanya, “Apakah itu? Apakah yang berada di dalam khemah itu?”
Menteri itu menjawab, “Di dalam khemah itu ada kubur. Kubur putera raja yang tampan, perkasa dan bijak semasa hidupnya. Apabila bertempur, hampir pasti dia menang. Dia menguasai banyak bahasa. Tetapi suatu hari dia ditimpa suatu penyakit. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubatinya, sehinggalah saat kematian menjemputnya.

“Siapakah pula mereka datang tadi?”

“Mereka yang datang tadi adalah pasukan terhebat di Bizantium.”

Mereka berkata, “Wahai  tuanku yang mulia, sekiranya bencana yang menimpamu ini ada di medan pertempuran, pasti engkau saksikan kamilah pasukan yang rela memberikan yang terbaik bagi bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir bagi membelamu. Malangnya musibah ini datang daripada Dia yang tidak dapat ditakluki oleh pasukan sehebat mana pun. Maafkanlah kami tuanku, kami hanya makhluk lemah yang tiada daya menghadapi ketentuanNya.

Kemudian golongan cerdik pandai pula berkata, “Wahai tuanku yang mulia, andai kata musibah yang menimpamu hasil daripada tipu daya, muslihat, pasti kamu saksikan kamilah orang yang mengerahkan segala kecerdikan dan kepandaian kami bagi menyanggah musibah itu. Tetapi, musibah ini datang daripada Dia yang tidak mungkin disanggah oleh  kecerdikan kami.”

Kemudiannya dukun-dukun dan pawang-pawang pula berkata, “Wahai tuanku yang mulia, sekiranya musibah yang menimpamu itu daripada kejahatan orang yang dapat dihapuskan sahaja dengan doa dan mentera, pasti kami bacakan mentera yang terbaik. Tetapi ia datang daripada Dia yang tidak mungkin tertahan ataupun tertolak dengan mentera.”

Selang beberapa waktu, datanglah beberapa gadis cantik menatang emas dan permata. “Wahai tuanku yang mulia, sekiranya musibah itu dapat ditolak dengan harta ataupun dengan kecantikan kami, kami rela mengorbankan segalanya untuk itu. Tetapi, ia datang daripada Dia yang tidak pernah tergiur oleh harta dan terpesona oleh kecantikan makhluk. Kami tidak berdaya.”

Terakhir datanglah ayahnya, iaitu raja, beliau berkata, “Anakku, setiap tahun aku datang ke sini. Kemahkotaan, kerajaan yang hebat, harta yang melaut, pasukan yang gagah, kecerdikan, ternyata tidak ada satu pun yamg mampu menolak ketentuanNya. Selamat tinggal anakku. Hingga bertemu lagi pada tahun akan datang.”

Lemah seluruh tubuh Hassan al-Basri mendengar semua itu. Akhirnya beliau memilih jalan hidup menuju akhirat iaitu menjadi seorang ulama terbilang lagi soleh.

Kisah ini diceritakan kembali bagi menegaskan, ramai orang yang hidup di dunia ini tertipu dengan harta, gelaran dan keseronokan dunia. Mereka tidak sedar walau semua itu dikumpul bergunung sekalipun, ajal tetap datang tanpa dapat dihalang.

Allahua’lam.

No comments:

Post a Comment