Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Sunday, March 13, 2011

UMNO Putrajaya Makin Terdesak

Putrajaya, 16 Februari 2011, PAS Putrajaya ingin menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya, Datok Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menganggap PAS sebagai parti pemecah belah masyarakat dan merosakkan aqidah Umat Islam. Beliau telah membuat kenyataan tersebut pada majlis Maulidur-Rasul bersama AJK surau-surau sekitar Putrajaya, anjuran UMNO Putrajaya di Surau Al-Mizan, Presint 8.
PAS ingin menegaskan bahawa kewujudan PAS adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Tujuan PAS selanjutnya adalah untuk mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana termaktub di dalam perlembagaan PAS.


Perkara ini juga diperlihatkan oleh ahli PAS pada semua peringkat dalam segala bentuk tindakan semenjak dari penubuhannya sehingga kini. Manakala tujuan penubuhan UMNO hanya menyatakan tentang mempertahankan kebangsaan Melayu tanpa menyatakan sebarang keinginan untuk memperjuangkan Islam dan hukum-hakamnya.


Sekiranya diimbau sejarah penubuhan PAS, salah satu perkara besar yang menyebabkan tertubuhnya PAS adalah bantahan terhadap loteri kebajikan yang diluluskan oleh kerajaan. Judi adalah sesuatu yang haram disisi Islam, dan perkara ini dengan tegas telah dinyatakan oleh ulamak- ulamak semasa itu, tetapi tidak diendahkan kerajaan, lalu lahirlah PAS bagi memperjuangkan syariát Islam yang dilanggar kerajaan (UMNO-Perikatan).


Sebaliknya, jika dilihat pada peribadi Ahli Parlimen Putrajaya, apa yang diperkatakan beliau umpama “cakap tak serupa bikin”. Walaupun tidak dapat dipastikan beliau telah melepaskan jawatan tersebut atau tidak, beliau (pernah) memiliki saham dan juga salah seorang pengarah kumpulan Berjaya yang Pengerusinya adalah Tan Sri Vincent Tan yang menjalankan perniangan hartanah, runcit, makanan dan juga judi loteri ‘Sports Toto’. Sebagai seorang yang beragama Islam, walaupun sesuatu perniagaan itu memberikan pulangan yang besar, sekiranya ianya terdapat unsur-unsur yang haram, semestinya ia dihindari, bukannya melibatkan diri dengannya secara langsung mahupun tidak langsung.


Perkara aqidah juga adalah sesuatu yang dipandang serius dalam Islam. Dakwaan mengatakan PAS menyelewengkan aqidah adalah sangat serius dan berat. Siapakah yang memesongkan aqidah sebenarnya? Tidakkah beliau sedar dan ingat pernyataan Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani tentang lebih 250,000 orang Islam telah murtad? Tidakkah ini merupakan kegagalan dasar pendidikan yang diperjuangkan UMNO dalam memperbetulkan aqidah? Adakah dengan bekerjasama dengan DAP boleh merosakkan aqidah? Sedangkan dalam masa yang sama ramai pemimpin DAP mula mempelajari dan ingin memahami agama Islam. Sekurang-kurangnya ingin menjadikan Khalifah Umar Ibn Aziz contoh dalam mentadbir negeri.


Bagaimanakah pula dengan UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC sejak sebelum merdeka adakah aqidah mereka tidak rosak selama itu? Wal;aupun setiakawan mereka kekal selama lebih 50 tahun namun sehingga kini UMNO masih gagal memahamkan pemimpin MCA/MIC tentang Islam sehinggakan ada pemimpin MCA/MIC keliru tentang hukum bersalaman dengan muslimah.


Mengikut maklumat dari peserta yang hadir pada majlis tersebut, beliau juga mendakwa PAS Putrajaya telah menyamar sebagai pegawai SPR dan mengganggu penduduk di Putrajaya. Perkara ini memperlihatkan kejahilan beliau dalam peraturan semasa SPR tentang pendaftaran pemilih yang memperuntukan setiap parti politik disetiap bahagian pilihanraya mempunyai 2 orang yang dilantik sebagai Penolong Pendaftar Pemilih.
PAS Putrajaya, dengan tanggungjawab yang diberi, dengan disertai oleh Penolong Pendaftar Pemilih yang berdaftar dengan SPR telah mengadakan program bagi mendaftarkan penduduk sebagai pemilih yang berdaftar di Parlimen Putrajaya. Ingin ditegaskan juga bahawa semua petugas PAS semasa program tersebut tidak sama sekali menyamar sebagai pegawai SPR, malahan hadir dengan imej PAS.


Program ini dijalankan adalah atas kesedaran bahawa masih terdapat ramai penduduk di Putrajaya tidak mendaftar diri sebagai pemilih terutamanya golongan muda. Adalah sesuatu yang pelik apabila tindakan ini dituduh sebagai mengganggu penduduk, adakah UMNO tidak mahu ramai penduduk Putrajaya menjalankan amanah memilih pemimpin mereka, sehingga membuat tuduhan tidak berasas tersebut, lebih kecil bilangan pengundi lebih senang UMNO hendak menang. Mungkin inilah hakikatnya sehingga mereka mengganggu dan menghalang petugas-petugas PAS menjalankan kerja-kerja pendaftaran tersebut.


Ternyata di sini, UMNO khususnya Tengku Adnan amat terdesak dan cemas dengan kehadiran PAS di Putrajaya yang semakin mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penduduk Putrajaya yang rata-rata adalah pegawai kerajaan sehingga beliau terpaksa menelan ludahnya sendiri dengan menggunakan Masjid dan surau untuk tujuan politik kepartian.


Difahamkan juga beliau mengarahkan surau-surau supaya tidak lagi menjemput tenaga pengajar yang ada kaitan dengan PAS terutamanya YDP PAS Putrajaya. Sedangkan dalam kuliah-kuliah tersebut, langsung tidak menyentuh tentang politik kepartian malah yang disentuh adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu ibadah, aqidah serta tasawwur Islam berpandukan kitab-kitab muktabar, walhal beliau dalam majlis tersebut langsung tidak menggunakan hujjah berpandukan al-Quran dan Sunnah dan bukti-bukti jelas dalam mempertikaikan aqidah orang lain.

No comments:

Post a Comment