Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Friday, March 25, 2011

"TUNTUTAN AMAR MAARUF DAN NAHI MUNKAR" Khutbah Jumaat - 25 Mac 2011

Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan tajuk "Tuntutan Amar Makruf Nahi Mungkar". Satu tanggungjawab yang perlu disedari, difahami dan dilaksanakan oleh setiap individu muslim demi menjamin kesejahteraan diri, masyarakat dan umat sejagat.

Secara ringkasnya boleh kita rumuskan bahawa Makruf bermaksud kebaikan dan ketaatan manakala Mungkar bermaksud kejahatan dan kemaksiatan. Maka ungkapan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini bermaksud "Menyuruh melakukan kebaikan dan Mencegah Kemungkaran."

Tanggungjawab melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini meliputi tanggungjawab setiap individu muslim mengikut tahap tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya. Hakikat ini dinyatakan berdasarkan sebuah hadits yang masyhur dari Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
"Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, Jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan lidahnya, jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun yang demikian ini adalah selemah-lemah iman."  (Riwayat Muslim)

Untuk melaksanakan tugas yang berat ini, hendaklah dijalankan secara berjemaah atau berkelompok dalam masyarakat Islam. Tuntutan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini  wajib dilaksanakan .Ini jelas dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 104:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya".


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Realiti kehidupan hari ini menunjukkan bahawa maksiat dan kemungkaran begitu berleluasa di dalam masyarakat kita. Setakat manakah kita mampu menegur kemaksiatan yang berlaku di depan mata? Lazimnya tuntutan melaksanakan Amar makruf dan Nahi Mungkar pula kian dipinggirkan.

Kita lebih bersikap pasif dengan dosa dan kemungkaran seolah-olah sudah selesa mengamalkan cara hidup sendiri-sendiri atau berpegang dengan slogan hidup "Apa nak kisah? Kubur masing-masing!".

Kita lupa bahawa sikap tidak peduli ini dan kegagalan melaksanakan tuntutan Amar Makruf dan Nahi Mungkar sebenarnya mengundang bencana dalam hidup kita, menjemput kemurkaan Allah yang Maha Keras seksaan-Nya. Marilah kita renungi dan mengambil iktibar akibat dan bencana yang berlaku pada kumpulan umat manusia yang meninggalkan tuntutan ini. Antaranya:-


Pertama  :         Laknat Allah dan Kemurkaan-Nya.

Insafilah kisah Bani Israel yang dilaknat oleh Allah seperti yang dirakamkan dalam Surah Al-Maidah ayat 78-79;
"Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat melalui lidah (doa) Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka antara satu sama lain tidak pernah mencegah tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruka apa Yang mereka telah lakukan."
Begitulah ketentuan Allah yang digambarkan di dalam ayat ini. Jika tiada lagi usaha mencegah kemungkaran dalam sesebuah masyarakat, Allah tidak lagi memandang mereka dengan pandangan rahmat-Nya bahkan melaknati mereka di atas kelalaian dan keingkaran yang mereka kerjakan.


Kedua :         Tidak mendapat pengiktirafan sebagai muslim sebenar.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W  bersabda :
"Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan menghormati orang tua dan tidak pula menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran." (Riwayat At-Tirmizi)


Ketiga :         Hilang kedamaian hidup dan dikuasai penguasa yang zalim.
Suasana ini sudah kita saksikan di serata dunia dan wajar kita jadikan pengajaran.
Maka wajar kita mengambil peringatan agar sentiasa mempertahan dan mengajak kepada kebenaran walaupun terpaksa menghadapi tentangan daripada masyarakat. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud;
"Berkatalah benar walau dihadapan penguasa yang zalim".


Keempat :         Berlaku malapetaka dan doa tidak lagi diperkenankan.
Hakikat ini pernah disebut dalah sebuah hadis daripada Hudzaifah bin Al-Yaman bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
"Demi jiwaku ditangan-Nya, hendaklah kamu terus menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau jika tidak dibimbangi Allah akan mengutuskan satu azab ke atas kamu kerananya. Kemudian jika kamu berdoa kepada-Nya, tidak pula akan diperkenankan doamu itu."    (Riwayat At-Tirmizi)

Dunia hari ini telah membuktikan berlakunya amaran baginda Rasulullah S.A.W ini. Pelbagai malapetaka telah berlaku di sekeliling kita. Apabila tiada lagi usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kemaksiatan dan dosa akan meliputi seluruh kehidupan manusia. Maka tiada lagi kebaikan, ketaatan yang mengundang rahmat dan keredhaan Allah SWT. Suasana masyarakat Islam sebegini hina dan rendah mertabatnya tentu sahaja layak menjemput kemurkaan Allah yang Maha Perkasa.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita kembali mengamalkan tuntutan Amal Makruf dan Nahi Mungkar yang selama ini telah diabaikan. Sebagai contoh, membiarkan gejala maksiat dan perbuatan sumbang yang berlaku di depan mata kita tanpa memberi teguran dan nasihat. Kewajipan ini jika diabaikan mengundang akibat yang besar. Janganlah kita mengamalkan hidup bagai terkurung dalam sangkar, sekadar melihat kemungkaran dari dalam tanpa bertindak keluar. Ingatlah sikap pasif memandang remeh terhadap dosa perlu kita tukar, berubah kepada peka dan sensitif melihat hak Allah dan agama dicabar. Semoga kita tergolong dari kalangan hamba-Nya yang soleh dan Abrar.

Kesimpulannya, marilah kita semua sama-sama berganding bahu mencegah perbuatan mungkar mengikut kemampuan dan kuasa yang ada. Penglibatan ini juga merangkumi semua golongan seperti JKK, pegawai masjid, pegawai-pegawai, guru-guru dan ibubapa yang bertindak atas nama Islam.

Di samping itu tugas berdakwah hendaklah disuburkan di kalangan umat Islam sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman); Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka, (tetapi) antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik".                             (Ali-Imran: 110)


Khutbah Jumaat Bacaan 25 Mac 2011

No comments:

Post a Comment