Pun begitu, masih ramai umat Islam tidak mengetahui tentang mazhab Asya’irah. Mereka tidak mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan al-Asya’irah dan kaedah mereka di dalam bidang akidah. Lantaran itu, sebahagian daripada mereka tidak berhati-hati meletakkan Asya’irah di dalam kesesatan dan melemparkan tuduhan bahawa Asya’irah telah terkeluar daripada agama Islam dan tergolong di dalam golongan mulhid (terpesong daripada kebenaran) di dalam menghuraikan sifat-sifat Allah.
Kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan terhadap kesatuan Ahli Sunnah dan merobek kesatuan umat Islam sehingga sebahagian orang-orang jahil menganggap golongan Asya’irah tergolong di dalam golongan yang sesat. Saya tidak tahu, bagaimana mereka menyamakan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang sesat, dan bagaimana mereka boleh menyamakan di antara golongan Ahli Sunnah dengan pelampau Muktazilah yang merupakan golongan Jahmiyyah? (pengikut Jaham ibn Sofwan yang berasal dari Khurasan.
Mazhabnya dikenali dengan Jabariah yang berpendapat tidak ada ikhtiar bagi makhluk.) Firman Allah SWT: Patutkah Kami (berlaku tidak adil dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat) sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur dan ingkar)." (Apa sudah jadi dengan akal kamu?) Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? (al-Qalam: 35-36) Asya’irah ialah pemimpin-pemimpin ulama Islam yang membawa petunjuk dan ulama yang mempunyai ilmu meliputi timur dan barat. Kelebihan, keilmuan dan keagamaan mereka disepakati oleh manusia pada zaman mereka.
Mereka merupakan tokoh-tokoh ulama Ahli Sunnah berwibawa tinggi yang berdiri teguh menentang kesesatan fahaman Muktazilah. Dalam mengupas tentang mazhab Asya’irah, Ibnu Taimiyyah berkata: Ulama ialah golongan pembantu ilmu-ilmu agama, manakala Asya’irah ialah golongan pembantu usul agama. (Al-Fatawa: H: 16, Juzu’ 4) Sesungguhnya mereka merupakan tokoh-tokoh hadis, fekah dan tafsir dari kalangan tokoh-tokoh imam yang utama seperti Syeikh al Islam Ahmad Ibnu Hajar al ‘Asqalani RH; syeikh dan pakar hadis yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Beliau juga merupakan pengarang kitab Fath al Bari ‘ala Syarh al Bukhari yang tidak dapat tidak, diperlukan dan dipegang oleh semua ulama. Beliau berpegang dengan mazhab Asy’ari. Begitu juga syeikh ulama Ahli Sunnah; Imam Nawawi RH, pengarang Syarah Sohih Muslim dan karya-karya lain yang masyhur, bermazhab Asy’ari. Syeikh Ahli Tafsir, Imam al Qurtubi RH pengarang kitab Tafsir al Jami’ li Ahkam al Quran, bermazhab Asy’ari.
Syeikh al Islam Ibnu Hajar al Haitami RH pengarang kitab al Zawajir ‘an Iqtiraf al Kabair, bermazhab Asy’ari. Syeikh Feqah dan Hadith, al Imam al Hujjah al Thabat Zakaria al Ansari RH, bermazhab Asy’ari. Imam Abu Bakar al Baqilani RH, Imam al Qustallani RH, Imam al Nasafi RH, Imam al Syarbini RH, Abu Hayyan al Nahwi RH pengarang tafsir al Bahr al Muhit, Imam Ibnu Juzaiy RH pengarang kitab al Tashil fi Ulum al Tanzil dan lain-lain lagi, kesemuanya merupakan tokoh-tokoh Asya’irah.
Sekiranya kita hendak mengira bilangan pakar ilmuwan dari kalangan ahli hadis, tafsir dan fekah yang bermazhab Asy’ari, pasti tidak muat untuk ditulis di dalam kitab ini dan tentunya memerlukan beberapa jilid kitab untuk memuatkan kesemua nama ulama ini yang ilmu mereka tersebar luas di timur dan barat dunia.
Sesungguhnya menjadi kewajipan ke atas diri kita, menyifatkan mereka dengan sifat-sifat yang baik dan mengenali kelebihan ahli ilmu yang telah menaburkan khidmat mereka kepada syariat Rasulullah SAW
No comments:
Post a Comment