Dalam menangani isu halal, setiap umat Islam harus menanamkan kefahaman dan keprihatinan dalam hati dan diri seseorang. Jika umat Islam kuat dan mantap dari segi akidah, ibadah dan akhlak, isu halal dan haram ini tidak timbul.
Melalui pendidikan akidah akan dapat membersihkan rohani dan hati membentuk peribadi agar sentiasa memilih dan berkelakuan baik dalam kehidupan. Dari segi ibadah jika semua umat Islam faham dan prihatin tentang isu halal, iaitu dari segi penyediaan makanan, siapa yang memasak; tuan punya kedai, sama ada orang Islam atau bukan Islam harus diteliti. Umat Islam yang berakhlak tidak mudah terpedaya dengan pekerja kedai, dan terpengaruh dengan logo palsu halal. Jauhi perkara meragukan.
Usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyeragamkan hanya logo halal Jakim sahaja dibenarkan adalah sangat digalakkan dan memudahkan umat Islam dalam soal makan dan minum. Cadangan menaikkan kadar denda ke atas individu serta syarikat yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang sah juga perlu dikuatkuasakan.
Dilaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meminda Akta Perihal Dagangan 1972 bagi menaikkan kadar denda kepada individu atau syarikat korporat yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal. Penguatkuasaan ini mestilah dilaksanakan dengan denda secara terus supaya lebih berkesan.
Logo dan sijil halal yang sah perlu dipamerkan di hadapan kedai dan mudah dilihat pada kaunter pembayaran supaya mudah dilihat dan memudahkan pelanggan beragama Islam mengenal pasti restoran makanan halal. Jakim juga wajar menguatkuasakan penggunaan logo tidak halal. Seperti, “makanan tidak halal bukan untuk orang Islam”. Juga wajar dipamerkan di kedai yang tidak halal.
Isu halal haram ini sebenarnya sudah berlanjutan dan masih belum mendapat keputusan jelas dan muktamad jalan penyelesaiannya. Sikap, kefahaman dan keprihatinan masyarakat Islam adalah sangat penting. Tanpa sikap ini sampai bila pun isu ini akan terus berlanjutan. Halal dan haram dalam Islam sangat jelas.
Dalam Islam, sesungguhnya yang halal itu jelas dan haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara yang meragukan dan tidak diketahui kebanyakan orang. Barang siapa menjauhi perkara-perkara diragukan (hukumnya) maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.
Sesungguhnya makanan yang dimakan itu akan menjadi darah dan daging. Apabila gumpalan darah itu baik, maka baiklah seluruh tubuhnya. Begitulah juga tiap tubuh yang tumbuh dari (makanan) yang haram maka api neraka lebih utama membakarnya. Ini semua diketahui umat Islam beriman.
Oleh itu, dalam hal makanan ini waspada dan jagalah supaya tidak terjebak dalam memakan makanan haram. Itulah sebabnya isu logo halal ini sangat penting dan begitu sensitif dalam kalangan umat Islam. Umat Islam juga harus saling memberitahu dan menyelamatkan saudara seagama tentang restoran yang tidak halal dan makanan haram ini.
Banyak lagi makanan halal yang boleh dimakan. Restoran Muslim juga menghidangkan pelbagai hidangan enak dan lazat terutama pada Ramadan. Jika di bulan yang mulia umat Islam menjaga makan dan minum, ia seharusnya dapat diteruskan sehingga ke bulan-bulan berikutnya dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment