Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Wednesday, September 8, 2010

Aidilfitri perlu disambut ikut syariat


BEBERAPA hari lagi umat Islam akan merayakan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Hari kemenangan penuh bermakna ini disambut umat Islam tanpa mengira latar belakang dalam suasana penuh kemeriahan.
Ibadat puasa Ramadan ibarat madrasah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang berpuasa. Bukan saja menahan lapar dahaga, tetapi mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.

Malah, disiplin madrasah ini amat tinggi kerana puasa bukan saja depan orang, tetapi apabila bersendirian keimanan tetap utuh. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah kepada umatnya.
Pengajaran selama sebulan Ramadan sepatutnya menjadi pemangkin ibadah untuk 11 bulan seterusnya sehingga bertemu Ramadan akan datang. Inti pati falsafah Ramadan sebenarnya mempunyai impak besar kepada peribadi dan jati diri umat Islam.
Menjelang hari kemenangan, jelas kegembiraan di hati muslimin dan muslimat kerana berjaya menempuh dugaan berperang dengan nafsu serta kelemahan diri sendiri. Persiapan dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.
Aidilfitri atau kembali kepada fitrah sebenarnya mengembalikan mereka yang berjaya menunaikan kewajipan berpuasa seperti bayi yang suci dan bebas daripada dosa, tetapi dengan syarat setiap suruhan dilaksanakan dan larangan dijauhi.
Tidak dinafikan ada antara kita yang gagal memenuhi falsafah ibadat puasa walaupun selepas berlapar dahaga sepanjang siangnya. Justeru, kembali mereka kepada fitrah seperti sebelumnya tanpa mencapai kecemerlangan sepatutnya.
Golongan ini ialah mereka yang rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada seruan Allah untuk merebut bukan satu, tetapi ganjaran yang berganda serta bonus persamaan amalan 1,000 bulan diperuntukkan mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkannya.
Pada hari kemenangan nanti, semangat berhari raya jangan sesekali membuatkan kita terlupa kepada mereka kurang bernasib baik kerana galakan bersedekah bukan ketika Ramadan saja. Sebaliknya, hendaklah dilakukan secara berterusan bagi mengeratkan silaturahim.
Perasaan gembira juga biarlah berpada terutama yang akan pulang berhari raya di kampung. Aspek keselamatan bukan perkara ringan kerana jumlah kemalangan selalunya meningkat pada musim perayaan. Oleh itu, sentiasa berhati-hati ketika memandu.
Aidilfitri adalah ibadat, maka hendaklah diraikan mengikut tertibnya supaya setiap perbuatan menjanjikan pahala. Islam tidak melarang umatnya berseronok tetapi biarlah mengikut landasan disyariatkan.
Ziarah bukan untuk menjamu selera, tetapi pada masa sama mengukuhkan lagi hubungan yang ada. Takbir bukan syarat memberitahu hari itu hari raya, namun sebagai tanda ingatan kepada Allah tidak pernah putus, terus subur semasa sedang bergembira.
Berbelanja secara boros hingga berlaku pembaziran bukan cara menyambut Aidilfitri kerana pastinya kita tidak mahu mencemari kejayaan mengawal diri sepanjang Ramadan dalam tempoh sehari, ketika sibuk membeli-belah.
Penganjuran rumah terbuka perlu diberi nafas baru supaya objektif awalnya untuk menjamu ahli keluarga, saudara- mara, sahabat serta jiran tetangga dan sebagai jambatan menghubungkan masyarakat pelbagai kaum berjaya dicapai.
Jika tiada rumah terbuka pun tidak mengapa kerana itu tidak mengehadkan kenalan untuk bertandang. Sudah menjadi amalan ketika Aidilfitri untuk saling mengunjungi serta bermaafan tidak kira dekat mahupun yang jauh.

No comments:

Post a Comment