Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Tuesday, August 17, 2010

Selawat Fatih

Selawat 3 :-


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين فهو رب العرش العظيم الذى يُصلّ على النبى. والصلاة والسلام محقق على رسول الله صلى الله عليه وسلم حق قدره ومقدره العظيم, وعلى آله أطهار وأصحاب الأخيار.


Disini ana ingin menjawab atau menjelas sedikit kekeliruan dan keraguan yang dihadapi oleh sahabat-sahabat ana yang kerap bertanyakan kepada ana soalan-soalan yang lebih kurang beginilah bunyinya :-
  1. Kami dah berselawat tapi kenapa hati masih tak tenang? Bukankah selawat dapat menenangkan hati?
  2. Kami dah berselawat tapi masih menjadi pemarah.
  3. Kami dah berselawat tapi hajat kami masih tak tercapai.
  4. Kami dah berselawat tapi penyakit kami masih tak sembuh.
  5. Kami dah berselawat tapi susah juga nak mengaji.
  6. Kami dah berselawat tapi masih tak berupaya untuk melakukan ibadat.
  7. Kami dah berselawat tapi masih melakukan maksiat.
  8. Kami dah berselawat tapi kenapa rezeki tak melimpah seperti yang dijangka?
  9. Kami dah berselawat tapi kenapa masih tak mendapat jodoh?
  10. Dan berbagai-bagai soalan yang berkaitan permasalahan selawat.


Justeru, seperti yang kita ketahui, selawat ini mempunyai berbagai-berbagai kelebihan dan manfaat. Tidak kira apa jenis atau nama selawat yang anda amalkan, semua itu adalah bagus. Contohnya seperti Selawat Tafrijiyyah dapat memudahkan urusan, Selawat Syifak dapat menyembuhkan penyakit, Selawat Anwariyyah dapat memudahkan mendapat ilmu, Selawat Fatih dapat merungkaikan segala kesulitan, Selawat Munjiyah dapat menunaikan hajat. Dan beratus atau beribu jenis selawat-selawat yang lain. Jika hendak mengamalkan semua selawat yang terdapat di atas muka bumi ini kemungkinan kita tak mampu dengan lemahnya himmah(keazaman) dan kesibukan kita mengejar urusan dunyawi, maka cukuplah di amalkan 1 atau 2 selawat tetapi secara istiqamah(konsisten). Jangan ditinggalkan dan jangan bersemangat untuk mengamalkannya secara banyak sekaligus kemudian terus hi-hi bye-bye.
Maka ana dengan penuh rendah diri dan berharap kepada hidayah dan taufik daripada Allah Jalla Jalaluh akan cuba menjawab segala permasalahan ini dengan ilmu yang sedikit yang ana ada nih...
Begini sahabat ana sekelian, pertama sekali kita kena fahamkan bahawa kesemua kelebihan dan manfaat itu akan terlaksana dengan izin Allah jua. Bukanlah bermakna apabila membaca selawat syifak maka selawat syifak yang menyembuh atau Rasulullah SAW yang menyembuh tetapi Allah Subhanahu Wa Taala lah yang menyembuh.
Janganlah menjadi seperti suatu puak yang menyatakan bahawa syirik mengamalkan Selawat Syifak umpamanya kerana kita mengatakan bahawa Rasulullah SAW yang menyembuh, bukannyaAllah Subhanahu Wa Taala yang menyembuh. Amat dangkal dan cetek sungguh kefahaman mereka, tetapi mendabik dada, bercakap dan berpakaian umpama ulamak pada zahirnya.
Baik, ana tidak ingin memanjang perbahasan mengenai puak ini kerana sudah banyak tulisan karangan ulamak-ulamak tersohor menyentuh perkara ini.
Oleh itu, sahabat-sahabat perlu memahami bahawa membaca selawat ini hanya menjadi asbab(sebab) sahaja untuk membolehkan kita mendapatkan sesuatu hajat contohnya. Maka apabila kita mengalami kepayahan dalam sesuatu perkara, sudah banyak ikhtiar yang kita lakukan namun masih tidak berjaya tetapi dengan hanya membaca satu kali selawat sahaja dapat menguraikan kepayahan tersebut. Adakah selawat tersebut yang menguraikan kepayahan tersebut?? Sudah mestilah tidak, Allah SWT yang menguraikan kepayahan tersebut dengan sebab kita membaca selawat. Jadi dengan berkat membaca selawat dan dengan berkat kita memujiRasulullah SAW dan dengan kemuliaan diri Rasulullah SAW, tuan punya selawat, Allah SWT pun memudahkan kepayahan kita tadi.
Kemudian perlu juga kita fahami bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah SWT, jika kita membaca 100 000 kali selawat pun, tetapi tidak diizinkan oleh Allah SWT maka tidak akan berhasil kehendak kita itu. Semuanya adalah dengan kehendak Allah SWT jua. Maka janganlah berputus harap dari nikmat dan rahmatAllah SWT, kerana walaupun tidak tertunai hajat seperti yang kita kehendaki namun Allah SWT lebih mengetahui apa-apa yang lebih baik bagi diri kita. Tetapi, teruslah berselawat dan berusaha keranaAllah SWT itu sangat pengasih, DIA tidak akan membebankan hambaNYA.
Sedikit sambungan dari perkara ini ana ingin menerangkan bahawa, setiap yang berlaku terdapat dalam ilmu Allah SWT, dalam kekuasanAllah SWT, dan dalam kehendak Allah SWT. Jadi setiap perkara yang berlaku ini di dalam Qada' dan Qadar Allah SWT seperti yang kita sedia imani(percayai). Cumanya ana ingin beritahu di sini bahawa, takdir Allah itu terdapat dua bentuk :-
  1. Takdir Mubram
  2. Takdir Mu-'allaq


Takdir Mubram = takdir yang tidak boleh diubah yakni setiap urusan yang terdapat dalam takdir mubram tidak akan berubah sekali-kali. Contohnya jika Allah SWT telah menetapkan bahawa kita akan mati pada jam 12 pagi, hari Khamis, 20hb Februari 1429H, akibat serangan jantung, di rumah mertua, ketika sedang makan, maka tetap akan berlaku perkara sedemikian, tidak kira apa usaha yang kita buat. Takdir ini tidak berubah sama sekali.

Takdir Mu-'allaq = takdir yang tergantung yakni bergantung kepada sesuatu sebab yakni takdir yang boleh berubah-ubah bergantung kepada usaha dan doa makhluk. Setiap takdir sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan terdapat di dalam ilmuNYA, jangan tersilap faham dengan mengatakan Allah SWT tidak tahu atau baru mengubah takdir kita. Contoh takdir ini adalah seperti :- Allah telah menetapkan bahawa kita akan cedera parah akibat kemalangan pada jam 12 pagi, hari Khamis, 20hb Februari 1429H, akibat perlanggaran dengan lori, di lebuhraya utara-selatan, ketika sedang membonceng motosikal, tetapi disebabkan kita berusaha makan menservis motosikal kita dan membawa dengan penuh cermat serta berdoa kepadanya sebelum membonceng motosikal tersebut maka, Allah SWT mengubah daripada mati kepada cedera ringan akibat perlanggaran dengan motosikal juga. Jadi, takdir akibat dilanggar tetap terjadi namun diringankan daripada dilanggar lori kepada dilanggar motosikal, daripada cedera parah kepada cedera ringan. Ini dikatakan takdir mu-'allaq.
Berbalik kepada persoalan asas kita, jadi setiap yang berlaku itu samada berada di bawah takdir mubram atau di bawah takdir mu'allaq, kita sendiri tidak mengetahui, hanya Allah jua yang Maha Mengetahuinyacumanya wajib atas kita berusaha dan berikhtiar. Jadi membaca selawat termasuk salah satu jalan kita berusaha selain usaha fizikal yakni jika kita sakit kepala contohnya, maka di samping makan ubat sakit kepala kita pun berselawat memohon kepada Allah SWT supaya di sembuhkan dari penyakit tersebut.
Oleh yang demikian, apabila kita membaca selawat tetapi tidak seperti yang kita harapkan maka boleh jadi dua kemungkinan :-

  1. Samada Allah telah tetapkan perkara yang berlaku itu tetap akan berlaku.
  2. Samada Allah SWT telah mengubah dari perkara yang lebih buruk berlaku kepada perkara yang berlaku itu.

Apa-apa kemungkinan pun, kita terimalah dengan redha dan syukur kerana itulah yang terbaik daripada Yang Maha Mengetahui kepada kita. Janganlah berputus asa atau berasa gundah gulana kerana hajat kita tak dipenuhi. Terus menerus berselawat dan berusaha.
Seterusnya, niat kita semasa membaca selawat tersebut. Selalunya yang berlaku kita membaca selawat ini atas niat-niat tertentu dan berkehendak supaya terjadi seperti yang kita kehendak bukannya seperti yang Allah SWT yang kehendak. Jadi saya menasihatkan kepada sahabat-sahabat, bacalah selawat ini kerana dua perkara ini :-

  1. Menghambakan diri kepada Allah SWT yakni ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Jadi ikhlas bukan perkara yang nampak atau boleh di tuturkan dengan lidah. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Kita sendiri pun tidak tahu adakah kita benar-benar ikhlas.
  2. Kerana kasih kepada Rasulullah SAW. Bacalah selawat dengan dasar mahabbah(kecintaan) kepada Rasulullah SAW kerana sudah sedia maklum Rasulullah SAW sangat-sangat menyayangi umat Baginda sehinggakan ketika sakaratul maut(di ambang kematian) pun Rasulullah SAW menyebut "Umatku, Umatku" kerana kasih Baginda tidak terhingga kepada umatNya. Adalah amat malang bagi sesiapa yang tidak berselawat ke atas Baginda dalam sehari walaupun satu kali. Sungguh lemah dan sungguh tidak terpancar rasa kasih kepada Rasulullah SAW.

Justeru itu, bacalah selawat atas dua dasar ini, jangan mencampur aduk dengan niat-niat yang lain walaupun harus berbuat demikian. Namun seelok-eloknya biarlah Yang Maha Mengurus dan Mengetahui, mengurus urusan kita, DIA lebih mengetahui yang mana TERBAIK buat diri kita.
Jika difikir-fikirkan, bagaimana kita boleh meletakkan hajat duniawi di dalam hati kita sedangkan tempat di hati itu hanya untuk Allah SWT danRasulNYA. Kita boleh mengongsi tempat untuk Allah Jalla Jalaluh danRasulullah Al-Mukhtar
dengan kehendak duniawi? Layakkah sedikit kehendak duniawi itu jika dibandingkan dengan martabat Ketuhanan Allah SWT dan martabatKerasulan Rasulullah SAW?? Anda sendiri boleh menjawab persoalan ini rasanya....

Kesimpulannya, berselawatlah atas Rasulullah SAW tidak kira apa keadaan, di mana kita berada, atas apa situasi dan berterus-terusan berselawat kepada Baginda, janganlah kita meninggalkan amalan yang mulia ini di samping membaca Al-Quran dan ibadat-ibadat fardhu yang lain. Allah SWT tidak akan memerintahkan kita berselawat melainkan ada hikmah dan ganjaran dan manfaat yang khusus serta mulia di sisiNYA.
Tidak mahukah kita bertemu dengan Rasulullah SAW
di masa kita hidup ini samada secara mimpi atau nyata?? Tidak teringinkah kita melihat rupa paras makhluk Allah SWT yang sebaik-baiknya. Tidak terdetikkah hati kita untuk menjadi umat Baginda SAW
yang terbaik yang sentiasa berada di sisi Baginda SAW
selalu? Jika sahabat-sahabat ada keinginan ini, ana ucapkan tahniah kerana Allah SWT telah membuka hati anda untuk mendekatkan diri kepadaNYA dan kepada RasulNya.

Terus-meneruslah berselawat atas Baginda Rasulullah SAW. Sesungguhnya selawat itu sangat besar ganjarannya. Sesiapa yang mengetahui kelebihan selawat yang sangat besar itu pasti tidak akan meninggalkan berselawat dengan mudah-mudah.
Akhir kalam, ana memohon ampun dan maaf jika tersalah dan tersilap dalam menulis artikel ini. Ana juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat ana yang memberi sepenuh kepercayaan kepada ana selama ini.


و صلى الله على سيدنا ونبينا وحبيبنا محمد صلى الله عليه وسلم و على آله وصحبه أجمعين. والحمد لله رب العالمين

Selawat 2:-





Risalah kali ini adalah muqaddimah yang ditulis oleh Sayyidi As-Syarif Ahmad Al-Hadi Al-Hasani Al-Maghribi di dalam kitab Sayyidush Sholawat yang saya naqalkan dan terjemahkan ke bahasa Melayu untuk manfaat kita bersama.
بسم الله الرحمن الرحيم
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدِنِالْفَاتِحِ لِمَا أ ُغْلِقَ. وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ. نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ.
وَالْهَادِى إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيمِ. وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيمِ.

Segala puji bagi Allah yang membuka daripadakunhil ghoibakan tampalan kaa-inaat. Dan menjadikan asal kunhi itu dan timbulnya akan Nur Hakikat Sayyidina Muhammad. Maka adalahNur Hakikat Sayyidina Muhammad itu asalMaujudaat. Maka mengada daripadaMaujudaat dengan KekuatanNya yang bangsaQudsi dan KalamNya yang bangsaAzali, fitrah semula jadi anak Adam. Dan menjadikan rangka fitrah anak Adam rupa alam dan mengajarkan anak Adam akanAsma’ sekeliannya. Dan menjadikan anak Adam daripada sekelian ciptaanNyasebagai rumusanNya dan pilihanNya. Maka bagiNyapujian bahawa telah menjadikan akan Nabi yang terpilih sebagai salinan asal yang sempurna lagi agung bagi semata-mata tiada dan ada. Dan telah membuka atas kedua tanganRasulullah itu khazanah-khazanah yangkamilahbagi kemuliaan dan kemurahan.
Dan aku bersaksi bahawa tiadaTuhan melainkan Allah yang satu pada zatNya, yang satu pada Asma’Nya dan SifatNya. Dan aku bersaksi bahawaSayyidina Muhammad Shollallahu Alaihi Wasallam hambaNya dan utusanNya yang dimuliakan dan kekasihNya yang diagungkan dan NurNya yangMutholsamdan jalanNya yang sempurna yang lurus. Telah berselawatlah olehAllahatasnya dan atas keluarganya yang suci lagi terpilih dan pencinta Rasulullah dari golongan yang baik-baik dan begitu juga telah sejahteralah dengan sebenar-benar sejahtera.
Dan selepas itu, maka ketahuilah wahai penggemar pada hendak sampai kepada hadrat Tuan bagi segala Tuanbahawa pintu hadrat itu satu jua, iaitu kasih akanNabi yang suka bertaubatShollallahu Alaihi Wasallam Wa Jumlatil Ali Wal Ashhab.
Telah berkata Hujjatul Islam Mujaddidul Millah As-Syeikh Abd Wahhab As-Sya’rani As-Syafie Al-Alawiy Radhiyallahu Anhudalam Kitab Lawaqi-’ul Anwar al-Qudsiyyah fil ‘Uhuudil Muhammadiyah :
Ketahui wahai saudaraku bahawa jalan untuk sampai ke hadratAllah Subhanahu Wa Taala daripada jalan berselawat atas Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallam adalah sedekat-dekat jalan kepada Allah.”
Dan telah berkata olehnya lagiRadhiyallahu Anhupada tempat yang lain.
Maka jika membanyak oleh engkau daripada berselawat dan bersalam atasnyaShollallahu Alaihi Wasallam boleh jadi engkau sampai kepada maqam melihat Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam. Dan iaitulah cara yang dibawa oleh as-Syeikh Nuruddin as-Syuuni danSyeikh Ahmad az-Zawawi danas-Syeikh Muhammad bin Daud al-Manzalaawi dan satu kelompok daripada syeikh-syeikh sezaman. Maka berkekalanlah setiap daripada mereka berselawat atasRasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallam. Dan membersih oleh mereka daripada segala dosa(yakni berselawat) sehingga berhimpun bersamaRasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallam secaraYaqozhoh pada bila-bila masa yang dikehendaki. Dan sesiapa yang tidak berhasil baginya akan pertemuan ini (berhimpun bersamaRasulullah) maka adalah dia hingga sekarang ini (masa tidak bertemu lagi) tidak memperbanyakkan membaca selawat atasRasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallamakan sebagai banyak yang dituntut bagi menghasilkan baginya maqam ini.”
Dan telah berkata Ibnu Farhun al-Qurthubi al-Maliki Radhiyallahu Anhu :
Sesungguhnya pada selawat atas Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallam ada 10karomah:-
  1. Yang terbesar dapat selawat daripada Raja Yang Maha Gagah.
  2. Mendapat syafaat Sayyidina Muhammad.
  3. Mengikut sunnah Malaikat.
  4. Menyalahi orang-orang Munafik dan Kuffar.
  5. Memadamkan kesalahan dan dosa.
  6. Membantu menunaikan hajat dan permintaan.
  7. Menyinari zahir dan batin.
  8. Kejayaan dari negeri kebinasaan.
  9. Memasuki negeri yang kekal abadi.
  10. Ucapan selamat dari Allah.”
Dan telah berkata as-Syeikh al-Hadhrami Radhiyallahu Anhu:
Sesungguhnya selawat atasnya Shollallahu Alaihi Wasallamsatu tangga, tempat naik, dan jalan kepadaAllah Taala sekiranya tiada bagi Tholib itu Syeikh yang Mursyid.”
Dan telah berkata anak muridnya al-Wali al-Kamil Sayyidi Ahmad Zuruq al-Maliki Radhiyallahu Anhu tuan al-Qowa-idush Shufiah :
Sesungguhnya selawat atasnya Shollallahu Alaihi Wasallammengangkat semangat orang yang sedang berhadap jika adalah orang itu pada maqam yang terumbang-ambing kerana bahawasanya menyebut selawat itu NurdanHidayah.”
Dan telah berkata al-Allamah al-Kamil al-Wali al-Washil as-Syeikh as-Sunusi Radhiyallahu Anhu :
Sesiapa tiada Syeikh yang Mursyid maka memperbanyaklah oleh dia daripada selawat atasnya Shollallahu Alaihi Wasallam. Maka sesungguhnya selawat itu menyampaikan kepada pembukaan yang nyata.”
Dan telah berkata Syeikhul Islam al-Hafidz Ibnu Hajar :
Sesungguhnya selawat atasnya Shollallahu Alaihi Wasallammembuka kimia kejayaan akan beberapa pintu yang tidak boleh dibuka oleh yang lainnya.”
Dan terdapat di dalam Bughyatus Saalik bagiImam as-Saahili Radhiyallahu Anhu:
Bahawa diantara sebesar-besar hasil dan sebaik-baik faedah yang diusahakan dengan selawat atasnyaShollallahu Alaihi Wasallam
ialah tercetak gambar (wajah)Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallampada diri seseorang itu akan sebagai cetakan yang lekat yang berakar umbi. Dan untuk demikian itu akan menghasilkan – dengan syarat mengekali atas berselawat atasnya Shollallahu Alaihi Wasallam dengan tujuan yang ikhlas serta mengikut syarat-syarat, adab-adab dan memahami makna-makna hingga tetaplah pada seseorang itu di dalam batinnya akan sebagai tetap yang benar lagi suci – cantuman nafas orang yang berselawat dengan nafasSayyidina Muhammad Shollallahu Alaihi Wasallam. Dan bermesra-mesra diantara keduanya pada tempat yang dekat dan suci akan sebagai mesra yang dengan sekira-kira tidak dapat dibezakan lagiMaka seseorang itu beserta sesiapa yang disayanginya.”
Cukuplah setakat ini kami jernihkan segala kekeruhan yang ada yang kami pindahkan daripada perkataan orang-orang yang baik-baik. Maka sesungguhnya tiada kemampuan atas hendak menceritakan kesemua keterangan mengenai perkara ini.
Dan telah memindah sekelompok orang-orang yangMuhaqqiqdaripada Jumhur Arifin yang Muta-akkhirin Radhiyallahu Anhum:
Bahawa ibu selawat dan puncanya dan ruhnya dan rahsianya, selawat yang dinamakan denganal-Yaquutatil Faridah dan masyhur diantara manusia dengan Selawat al-Fatih. Dan mengisyaratkan kepadanya di sisi pemimpinal-Arifin dengan pembukaanHakikat Muhammadiyyah. Dan orang yang pertama menimbulkannya ialah al-Qutbil al-Kamil as-Syeikh al-Washil, pensyarah titik ba’ pada basmalah di dalam 2000 majlis,Muhammad Mushthofa al-Bakri as-Shiddiqi al-Kholwati Radhiyallahu Anhu. Maka sesungguhnya telah bertawajjuh olehnya kepadaAllah selama 40 tahun memohon bahawa diberi satu selawat yang padanya terkandung sekelian rahsia selawat. Maka datanglah Malaikat dengan cebisan kertas daripada cahaya yang ditulis padanya Selawat Fatih. Dan telah berkata olehnya Radhiyallahu Anhu :Sesiapa yang membacanya sekali seumur hidup padahal memasuki ia akan neraka maka peganglah tangan aku di hadapan Allah.”
Dan telah berkata padaSelawat Fatih oleh Umbi Kasturi dan Bulan Purnama al-Qutbil Maktum wal-Khatmil Muhammadiyyil Maklum Sayyidi Ahmad At-Tijani al-Hasani Radhiyallahu Anhu Wa Ardhohu Wa ‘Anna Bihi, memindah dariSayyidil Wujud Shollallahu Alaihi Wasallam :
Sesungguhnya khasiat Selawat Fatih Lima Ughliq perkara yang bangsaKetuhanan yang tidak ada jalan untuk diterima akal. Maka jika engkau andaikan ada 100 000 umat, pada setiap umat ada 100 000kabilah, pada setiap kabilah ada 100 000lelaki, hidup setiap seorang daripada mereka 100 000tahunmenyebut setiap seorang daripada mereka setiap hari 100 000selawat atasRasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallamdaripada selawat yang lain, dan dihimpun pahala mereka kesemuanya pada selawat yang tersebut itu, tidaklah dapat menandingi sekelian pahala itu dengan satu pahala daripada Selawat Fatih.”
Maka jangan peduli pembohongan orang yang suka berbohong serta suka mencari keburukan padaSelawat Fatih. Maka sesungguhnya kelebihan itu di tangan Allah. Memberi olehNyakepada sesiapa yang dikehendakiNya. Maka sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Taala satu kelebihan yang keluar dari ruanganQiyas.
Dan semoga Allah mengganjari daripada kita penulis tulisan ini (Sayyidish-Sholawat), ar-Rabbani al-Allamah al-Muhaqqiq keturunan Syarif As-Sayyid Kiyai Fauzan al-Jawa at-Tijani al-Muntahi yang dinasabkan kepada Sunan Ampel Radhiyallahu Anhu dan kepadaMaulana Syahid Karbalak Husain Alaihis Salam. Maka sangat baik dan bermanfaat dan terang maksud pada mensyarahkan Selawat al-Yaqutahyang tersebut.
Meminta kepada Allah dengan kehormatan kunciHadrah Kemulian dan Kemurahan
Sayyidina Muhammad yang merupakan pasak dan punca setiap yang ada bahawa membuka bagi kita dan sahabat-sahabat kita Futuh Selawat Fatih. Dan melempar akan kita pada martabatSelawat Fatih yangBatin dan martabatnya yangBatinul Batin iaitulah pembukaan Ismul A’azhomyang khas yang tersimpan padaIsmul A’azhom itu kehebatan nama Allah yang Agung lagi Diagungkan lagi yang Lebih Agung danNabiNya yang Terpilih dan Terlebih Mulia.
Dan telah berselawat oleh Allah atas Sayyidina Muhammad Al-Fatih Lima Ughliq al-Khatim dan atas Keluarganya sesuai dengan martabat dan tingkatannya yang agung. Telah menulis muqaddimah kitab ini oleh Penjenayah yang Menuntun Ekor as-Syeikh at-Tijani, Ahmad Al-Hadi al-Hasani al-Maghribi yang menetap di Jitra, Kedah Darulaman pada Romadhon yang Mu’azzhom 1430H.

Selawat 1:-

Selawat faatih



بسم الله الرحمن الرحيم



Segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Taala, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam dipanjatkan atas junjungan besar Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga keatas sahabat-sahabat baginda dan ahli keluarga baginda.
Bersempena hari yang mulia lagi berkat di sisi orang Islam ini maka ingin sekali saya mengambil kesempatan untuk menyatakan sedikit kelebihan berselawat. Tambahan pula kita amat-amat dianjurkan supaya memperbanyakkan selawat pada hari jumaat ini. Sabda Nabi Shollallahu Alaihi Wasallam :

اكْثَرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاَةِ في كُلِّ يَوْمِ جُمْعَةٍ فَاِنَّ صَلاَةَ اُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمْعَةٍ فَمَن كَانَ اَكْثَرَهُم عَلَيَّ صَلاَةً كَانَ اَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً. – رواه البيهقي
فربايقله أوليه كامو أتسكو درفد صلوات فد هاري جمعة. مك سسوغضوهث صلوات أمتكو دتاثغكن كفدكو تيف٢ هاري جمعة. مك برغسياف يغ فاليغ باثق برصلوات أتسكو مك دياله يغ فاليغ همفير تمفتث دغنكو. – رواية البيهقي

Perbanyaklah oleh kamu atasku daripada selawat pada hari jumaat. Maka sesungguhnya selawat umatku ditayangkan kepadaku tiap-tiap hari jumaat. Maka barangsiapa yang paling banyak berselawat atasku maka dialah yang paling hampir tempatnya denganku.”

Di dalam risalah ini akan saya nyatakan tentang kelebihan Selawat Fatih yang saya kutip daripada kita Afdhalush-Sholah karangan Yusuf bin Ismail An-Nabhani. Dan In-sya-Allah selepas ini saya akan sambung lagi risalah-risalah ringkas berkaitan selawat.

Lafaz selawat

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدِنِ الْفَاتِحِ لِمَا أ ُغْلِقَ. وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ. نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ. وَالْهَادِى إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيمِ. وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيمِ

Ya Allah Ya Tuhanku berikanlah keagungan (sebagai pemberian rahmatmu) atas pemimpin kami iaituSayyidina Muhammad. Pembuka bagi sesuatu yang di kunci. Dan penutup martabat hamba Allah yang telah dahulu. Lagi penolong kebenaran dengan kebenaran (dengan pertolongan Allah). Dan pemberi petunjuk kepada jalanMu yang lurus. Dan atas keluarganya yang sesuai dengan martabatnya (di dunia) dan martabatnya yang agung (di akhirat).”

Kelebihannya :

1. Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.
2. Berkata sebahagian ulamak Maghribi, berselawat sekali dengan Selawat Fatih menyamai 10 000 atau 600 000 yang lain.
3. Sesiapa mengekali atas Selawat Fatih 40 hari, dosanya akan diampuni Allah.
4. Sesiapa membacanya 1000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wasallam. Caranya adalah membacanya selepas bersolat 4 rakaat,1)di baca surah al-Qadr, 2)di baca al-Zalzalah, 3)di baca al-Kafirun, 4)di baca Ma-’uzatain. Seeloknya diasapkan dengan gaharu ketika membaca Selawat Fatih.
5. Selawat ini bermanfaat kepada orang Mubtadi, Mutawassith, Muntahi
6. Telah disebut oleh kebanyakan Arifin bagi selawat ini terdapat banyak asror dan ajaaib.
7. Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah.

Sekian saja untuk kali ini…In-Sya-Allah saya akan menulis risalah yang lain berkaitan selawat pada masa lain. Diharap saudara/saudari dapat mengambil manfaat dengan risalah yang terlalu ringkas ini. Sebarang pertanyaan sila email saya di hazry.ptr@gmail.com
Wa-shollallahu ala Sayyidina Muhammad wa ala alihi wa shohbihi wa sallam.




No comments:

Post a Comment