Tinta Perjuangan

BUat PeNgUnJunG

Monday, October 4, 2010

Mas kahwin wajib, hak mutlak isteri

Pernikahan tanpa mahar sah tetapi suami mesti beri bayaran sepadan
SETIAP perkahwinan yang sah adalah berdasarkan rukun nikah terkandung dalam hukum syarak iaitu pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali, saksi, ijab dan kabul. Mas kahwin pula antara syarat dikenakan sebagai mahar diberi atau dijanjikan kepada pengantin perempuan.
Definisi mas kahwin berasal daripada perkataan Arab dan dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-aqd. Menurut istilah syarak, mahar ialah pemberian yang wajib oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan. Memberi mas kahwin kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah dan mazhab Syafie, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah. Pemberian mas kahwin dianggap sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Ia juga mencerminkan kasih sayang, kesediaan hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga tanda penghormatan suami terhadap isteri. Namun, mas kahwin tidak termasuk rukun nikah atau syarat sah pernikahan. Jika pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan itu tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil (yang sepadan).
Mengikut hukum syarak mas kahwin perlu dibayar suami kepada isteri pada masa akad nikah, sama ada wang atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau sesuatu yang menurut hukum syarak dapat dinilai dengan wang.
Dalil mewajibkan mahar kepada isteri antaranya firman Allah bermaksud: Dan berikanlah kepada perempuan (isteri) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian (yang wajib). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian itu sebagai nikmat yang baik lagi lazat. (Surah al-Nisa, ayat 4)
Firman Allah bermaksud: Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (selepas dia menjadi isteri kamu) maka berikan mereka maharnya (ajr) sebagai satu ketetapan yang difardu (diwajibkan oleh Allah Taala). (Surah al-Nisa, ayat 24)
Pada zaman Rasulullah SAW, berlaku kisah seorang perempuan berkahwin tanpa disebutkan maharnya. Tidak lama kemudian suaminya meninggal dunia sebelum sempat bersama (melakukan persetubuhan), lalu Rasulullah mengeluarkan hukum supaya perempuan itu diberi mahar misil untuknya.
Ini bermakna, Rasulullah SAW sudah menetapkan mahar atau mas kahwin berdasarkan kemampuan suami. Islam tidak menetapkan kadar serta had maksimum dan minimum mahar bagi wanita.
Ia bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa, suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Namun, Islam menganjurkan kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Rasulullah SAW menggalakkan kita mempermudahkan mahar dalam sabda bermaksud: Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah mudah (rendah) perbelanjaan (mahar). (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim)
Berdasarkan peruntukkan enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, mas kahwin ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan. Mas kahwin hak mutlak isteri dan boleh dianggap sebagai hutang jika suami gagal memberikan mas kahwin itu.
Justeru, isteri boleh menuntut mas kahwin di mahkamah jika tidak dibayar sebagai hutang. Keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 4 Tahun 2003 pada 22-24 Ogos 2003 di Shah Alam, Selangor, bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung penambahan dan pindaan kod kes seperti diluluskan Mesyuarat Ketua Hakim Syarie ke-25 dengan meletakkan tambahan Kod Kes Mal di mana mas kahwin diletakkan suatu kod bagi tuntutan baru.
Setiap negeri memberi panduan kadar minimum mas kahwin yang berbeza. Contohnya, Majlis Agama Kedah tidak menetapkan jumlah minimum mas kahwin. Di Selangor, mas kahwin minimum RM300.
Timbul kekeliruan sama ada wang hantaran adalah mas kahwin. Sebenarnya wang hantaran adalah adat Melayu iaitu hadiah daripada suami kepada isteri dan tanda setuju dengan perkahwinan itu.
Hantaran tidak wajib kerana lebih kepada adat dan hukumnya harus. Wang hantaran adalah pemberian ikhlas pengantin lelaki kepada perempuan sebagai mem-bantu menampung perbelanjaan kenduri. Jika bakal suami mahu memberi mas kahwin dan hantaran sekali gus, tidak ada salahnya
Kesimpulannya, mas kahwin wajib kepada suami untuk menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap isteri. Ia juga bertujuan menggembirakan dan menyenangkan isteri. Walaupun mas kahwin dijadikan hutang, isteri boleh menuntutnya.

No comments:

Post a Comment